Golongan muda bukan manja, cuma berdepan realiti berbeza – Azalina

HomeFeaturedBerita Semasa

Golongan muda bukan manja, cuma berdepan realiti berbeza – Azalina

KUALA LUMPUR,. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyeru masyarakat dan pemimp

Krisis tenaga global: Kerajaan dan rakyat perlu bersatu, jadikan “loceng amaran” – Sultan Nazrin
Dr. Fatimah Sabrina terima AIKON UiTM 2025
16 rakyat Malaysia dalam misi GSF ditahan iof berhampiran Cyprus – SNCC

KUALA LUMPUR,. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said menyeru masyarakat dan pemimpin supaya tidak lagi melihat golongan muda menerusi stereotaip yang menganggap mereka berasa diri berhak mendapat layanan istimewa atau manja, sebaliknya mengiktiraf realiti sosioekonomi yang jauh berbeza yang dihadapi mereka.

Beliau berkata golongan muda kini berdepan cabaran tersendiri termasuk persekitaran yang dipacu teknologi dan perubahan keadaan ekonomi yang membentuk persepsi mereka terhadap nilai diri serta mendorong mereka mengharapkan kejelasan dan keadilan yang lebih baik dalam kerjaya.

“Generasi hari ini bukanlah berasa diri mereka berhak mendapat layanan istimewa atau manja, tetapi mereka dilahirkan dalam perspektif yang berbeza. Pengalaman hidup mereka tidak sama seperti yang kita lalui.

“Saya yakin, kita semua semasa berada di universiti dulu, kita naik bas dan menggunakan telefon bimbit untuk membuat panggilan. Apabila kita di luar negara, kita tidak pulang setiap tahun, sebaliknya hanya pulang selepas tamat pengajian. Cabarannya berbeza,” katanya pada Forum Menteri bersempena dengan Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFuture) 2026 di sini, hari ini.

Azalina berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam forum bertajuk “Suara Masa Hadapan: Perbincangan Mengenai Kepimpinan dan Pembinaan Negara” anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi, yang turut menampilkan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir selaku ahli panel.

Beliau berkata berbeza dengan generasi terdahulu, golongan muda masa ini memahami nilai diri mereka dan mengharapkan rasa hormat dan kebertanggungjawaban daripada majikan.

Menyentuh isu kepimpinan dan integriti pada sesi itu, Azalina mengimbas kembali peristiwa penting semasa zaman universiti apabila usaha beliau memperjuangkan penjadualan peperiksaan untuk rakan-rakan Melayunya menyebabkan beliau terpaksa menangguhkan sementara rancangan melanjutkan pengajian pascasiswazah di Cambridge University.

Beliau berkata pengalaman itu menjadi pencetus kepada penglibatannya dalam dunia politik dan pembentukan prinsip terasnya.

“Apabila anda berada dalam kedudukan yang berkuasa, kedudukan itu sebentar sahaja. Anda tidak boleh menyalahgunakan kuasa anda kerana setiap perbuatan akan menerima balasannya. Kita semua diberi amanah oleh tuhan untuk melakukan yang terbaik mengikut kemampuan kita,” katanya.

Sementara itu, Azalina menggesa pelajar universiti dan pemimpin muda untuk bersuara tentang isu semasa yang menjejaskan negara dan kesejahteraan awam, dengan menegaskan tanggungjawab sosial mereka bagi memastikan perkara kritikal termasuk pencemaran alam sekitar, tidak dipandang ringan.

Beliau berkata contohnya, isu jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kesihatan awam dengan teruk sehingga menyebabkan sekolah ditutup apabila Indeks Pencemar Udara (IPU) mencapai tahap tidak sihat.

“Jika saya seorang pelajar, banyak perkara yang akan saya lakukan apabila isu jerebu tidak ditangani dengan sewajarnya. Saya tidak meminta anda untuk turun ke jalanan, tetapi gunakan platform digital yang anda miliki untuk membangkitkan perkara yang membimbangkan ini. Jika anda berdiam diri, orang lain akan menganggap kita akur dengan keadaan itu,” katanya.

— BERNAMA