Hala tuju GRS hadapi PRU16 akan ditentukan secara kolektif – Armizan

HomeFeaturedPolitik

Hala tuju GRS hadapi PRU16 akan ditentukan secara kolektif – Armizan

PAPAR,. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum memutuskan bentuk kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sebaliknya menyerahkan

KKM batal notifikasi dua produk kosmetik beracun
Nylea rangkul gelaran Dewi Remaja 2025
Pencarum KWSP perlu simpanan minimum RM100,000 pada usia 55 untuk persaraan – Penyelidik

PAPAR,. Gabungan Rakyat Sabah (GRS) belum memutuskan bentuk kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada Majlis Tertinggi gabungan itu, untuk dibincangkan dan diputuskan secara kolektif apabila tiba masanya.

Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata sebarang keputusan perlu mengambil kira pandangan parti-parti komponen yang mencerminkan suara ahli peringkat akar umbi, selain isyarat rakyat menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2025.

Beliau berkata pertimbangan untuk mewujudkan kerajaan yang stabil pada peringkat Persekutuan dan negeri bagi memastikan kelancaran pentadbiran serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, turut menjadi antara faktor dalam menentukan hala tuju politik gabungan itu.

“Dalam isu pokok dan dasar berkaitan kerjasama dan hala tuju politik, pandangan peribadi saya tidak penting, yang penting ialah pertimbangan dan keputusan yang dibuat oleh kepimpinan secara kolektif melalui Majlis Tertinggi GRS,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Program Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana: Radio Amatur sebagai Komunikasi Alternatif Peringkat Negeri Sabah 2026 di sini hari ini.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata setakat ini, GRS belum mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-mana parti politik berhubung kerjasama bagi menghadapi PRU16, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kekuatan gabungan itu di seluruh kawasan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan kerjasama GRS dengan Barisan Nasional (BN) menerusi gagasan Muafakat Sabah, yang disuarakan Ketua UMNO Bahagian Tenom Datuk Raime Unggi baru-baru ini, selain kemungkinan meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Armizan berkata setiap parti politik mempunyai hak untuk menentukan hala tuju masing-masing dalam menghadapi pilihan raya dan beliau tidak berhasrat mengulas pendirian parti lain.

Bagaimanapun, beliau berkata GRS terbuka kepada kerjasama politik, berdasarkan pengalaman gabungan itu bekerjasama dengan parti lain sebelum dan selepas PRN Sabah lepas, bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri.

Beliau berkata pengalaman kerjasama politik serta maklum balas ahli parti komponen dan isyarat pengundi pada PRN Sabah 2025, akan menjadi antara pertimbangan penting sebelum sebarang keputusan mengenai hala tuju GRS bagi menghadapi PRU16 dibuat secara bersama.

— BERNAMA