
Halal Street UK lancar platform e-dagang, promosi produk halal Malaysia
KUALA LUMPUR,. Halal Street UK, syarikat dimiliki seorang rakyat Malaysia hari ini melancarkan platform e-dagangnya, HalalExtra.com, ia membolehkan produk halal Malaysia dijual di United Kingdom (UK) dan Eropah.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Halal Street UK, Simon Suresh berkata platform perniagaan ke perniagaan (B2B) dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia mencari pasaran baharu di luar negara di dalam persekitaran penularan COVID-19.
“Industri halal telah berkembang melangkaui sektor makanan dan pertumbuhan ketara di kalangan pengguna Muslim, serta peningkatan permintaan dari penduduk bukan Islam, mendorong pasaran halal global berkembang pesat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Simon berkata bahawa e-pasaran akan mewujudkan rantaian bekalan ke UK dan negara-negara jirannya dan memenuhi permintaaan lebih daripada 700 juta umat Islam di rantau tersebut.
Platform itu mempromosikan produk harian antaranya makanan, kesihatan, kecantikan, makanan ringan, perasa, daging dan ayam.
“Hanya produk halal yang diiktiraf dan dipilih dengan teliti melalui proses yang ketat akan disenaraikan laman web itu,” katanya.
Pasaran halal UK hari ini bernilai AS$ 4.5 bilion (US$1 = RM4.13) dan kini ia merupakan pasaran e-dagang ketiga terbesar di dunia, selepas Amerika Syarikat dan China.
Menurut unjuran oleh badan pemikir, Pew Research Center, penduduk Muslim di UK akan meningkat tiga kali ganda dalam tempoh 30 tahun, pertambahan daripada 4.1 juta pada 2016 kepada 13 juta pada tahun 2050.
— BERNAMA