35,000 orang awam dipindah dari bandar-bandar terkepung

35,000 orang awam dipindah dari bandar-bandar terkepung

KYIV: Sekurang-kurangnya 35,000 orang awam telah dipindahkan dari bandar–bandar yang dikepung kelmarin, menurut Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky.

Dalam ucapan rakaman video lewat kelmarin, pemimpin Ukraine itu menyatakan tiga koridor kemanusiaan telah membenarkan penduduk meninggalkan bandar-bandar Sumy, Enerhodar dan kawasan di sekitar Kyiv.

Beliau menyatakan beliau berharap pemindahan akan diteruskan semalam dengan tiga lagi laluan dijangka dibuka untuk keluar dari bandar-bandar seperti Mariupol, Volnovakha di tenggara dan Izium di timur Ukraine.

Pemindahan dilakukan selepas Moscow dan Kyiv bersetuju kelmarin untuk membuka lebih banyak koridor, menawarkan secebis harapan kepada orang awam yang ketakutan yang terperangkap di bandar-bandar yang diserang.

Lebih 5,000 orang telah dipindahkan sehari sebelumnya dari Sumy, sebuah bandar yang mempunyai 250,000 penduduk dan terletak berhampiran dengan sempadan Rusia yang telah menyaksikan pertempuran sengit.

Namun cubaan pemindahan dari pekan pelabuhan Mariupol, yang telah dikepung Rusia selama beberapa hari, gagal ketika kedua-dua pihak Kyiv dan Moscow saling mempersalahkan.

Kelmarin, satu serangan udara yang dilancarkan Rusia telah memusnahkan sebuah hospital kanak-kanak di bandar, mencetuskan kemarahan global bahari setelah dua minggu pencerobohan Rusia ke atas negara jiran bekas Sovietnya.

Datuk bandar Mariupol menyatakan lebih 1,200 orang awam telah terkorban dalam serangan sejak lebih seminggu lalu.

Agensi pelarian PBB UNHCR telah menganggarkan jumlah keseluruhan pelarian antara 2.1 hingga 2.2 juta orang.

– Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)