KUALA LUMPUR,. Harga minyak berpotensi mencecah AS$120 setong sekiranya Iran meneruskan ancaman untuk menyerang lima kemudahan tenaga di Arab Saudi, E
KUALA LUMPUR,. Harga minyak berpotensi mencecah AS$120 setong sekiranya Iran meneruskan ancaman untuk menyerang lima kemudahan tenaga di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.
Seorang penganalisis berkata Asia bakal menerima kesan paling besar berikutan kebergantungan tinggi rantau itu terhadap bekalan minyak dan gas dari Qatar.
“Jika serangan berjaya, ia bukan sahaja mengganggu penapisan kondensat, malah mengancam operasi tren yang membekalkan gas asli cecair (LNG) ke Eropah, Jepun, Korea Selatan dan China di bawah kontrak jangka panjang,” kata Naib Presiden Kanan Rystad Energy dalam satu kenyataan hari ini.
Aditya Saraswat berkata pihak berkuasa Iran telah mengeluarkan amaran bahawa lima kemudahan di Arab Saudi, UAE dan Qatar “akan menjadi sasaran dalam tempoh beberapa jam akan datang”, ketika harga minyak telah melepasi paras AS$110 setong.
Beliau berkata kemudahan terbabit ialah kilang penapisan SAMREF dan kompleks petrokimia Jubail di Arab Saudi; medan gas Al Hosn di UAE; serta kompleks petrokimia Mesaieed dan kilang penapisan Ras Laffan di Qatar.
Menurut Aditya, jika laporan daripada agensi berita separa rasmi Tasnim menjadi kenyataan dan kemudahan tersebut diserang, sekurang-kurangnya 700,000 tong sehari kapasiti produk ditapis akan terkeluar daripada pasaran global, sekali gus mengganggu bekalan diesel, bahan api jet dan nafta di ketiga-tiga negara itu.
“Setakat ini, Iran telah melaksanakan sebahagian besar tindakan yang dinyatakan, sekali gus menjadikan ancaman ini sangat boleh dipercayai.
“Sebarang gangguan di wilayah ini bukan sahaja menjejaskan bekalan serantau, malah turut mengganggu pasaran LNG global, dengan Asia dijangka menanggung kesan paling besar berikutan kebergantungannya kepada bekalan dari Qatar,” katanya.
Aditya turut memaklumkan bahawa walaupun Arab Saudi telah diserang sebelum ini, bekalan masih tidak terjejas, satu faktor penting bagi pasaran minyak.
Katanya, sebarang gangguan terhadap infrastruktur utama seperti pelabuhan Yanbu boleh mengurangkan antara lima juta hingga enam juta tong sehari daripada pasaran global, sekali gus berpotensi melonjakkan harga minyak kepada AS$150 setong atau lebih tinggi.
“Sebagai perbandingan, lima kemudahan ini secara kolektif menyumbang kira-kira 20 peratus daripada perdagangan LNG global, sehingga 10 peratus import nafta Asia Pasifik dan lebih enam peratus kapasiti polietilena global tanpa pengganti jangka pendek,” katanya.

