KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung sempena Hari Koperasi Negara 2026 (HKN'26) yang akan berlan
KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung sempena Hari Koperasi Negara 2026 (HKN’26) yang akan berlangsung di PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang dari 3 hingga 5 Julai ini.
Bertemakan “Koperasi Memperkasa Komuniti, Membina Negara MADANI”, acara itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada 4 Julai. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong, turut dijangka hadir sebagai tanda sokongan berterusan kerajaan terhadap gerakan koperasi sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi rakyat.
Berucap pada majlis prapelancaran di Menara SKM di sini kelmarin, Pengerusi SKM Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B), berkata penganjuran tahun ini merupakan yang terbesar setakat ini dengan penyertaan 150 reruai pameran dan jualan merangkumi sektor koperasi, keusahawanan, pelancongan, pendidikan, teknologi, makanan dan perkhidmatan awam.
Beliau berkata HKN’26 direka bukan sekadar sebagai perhimpunan tahunan gerakan koperasi, malah sebagai platform sehenti yang menghimpunkan peluang ekonomi, pendidikan, pekerjaan, teknologi serta inisiatif pembangunan komuniti untuk masyarakat.
“HKN’26 bukan sekadar pameran koperasi. Kami membawakan sebuah festival rakyat yang menghimpunkan makanan tradisional, pakej pelancongan, aktiviti mesra keluarga, peluang perniagaan, laluan pendidikan dan peluang pekerjaan dalam satu lokasi,” katanya.
Antara tarikan utama acara itu ialah Jualan MADANI Koperasi yang menawarkan pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, telur, gula, ayam, daging, sayur-sayuran dan susu pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
Program berkenaan turut menampilkan produk keluaran koperasi dan usahawan tempatan bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat di samping memperkukuh ekosistem perniagaan koperasi.
Pengunjung juga berpeluang menikmati Festival Warisan Laksa @HKN26 yang menghimpunkan pelbagai variasi laksa dari seluruh negara termasuk Laksa Penang, Laksa Johor, Laksa Kedah, Laksa Sarawak, Laksa Kelantan dan Laksa Perlis.
Dalam sektor pelancongan, sebanyak 20 reruai di bawah COOP Tourism akan menghimpunkan koperasi pelancongan dari seluruh negara yang menawarkan promosi istimewa bagi pakej umrah dan ziarah, percutian domestik, pelancongan pulau dan eko-pelancongan, homestay komuniti serta pelancongan pendidikan.
Bagi pelajar, graduan dan pencari kerja, HKN’26 turut menyediakan ruang khas melibatkan institusi pengajian tinggi, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Kecerdasan Buatan (AI) serta MYFutureJobs yang menawarkan maklumat berkaitan laluan pendidikan, latihan kemahiran dan peluang kerjaya.
Dalam usaha memupuk budaya kecemerlangan dalam sektor koperasi, SKM turut memperkenalkan dua anugerah baharu iaitu Anugerah Khas Menteri: Koperasi Lestari dan Anugerah Khas Menteri: Koperasi Komuniti bagi mengiktiraf koperasi yang sedang berkembang serta memberi impak positif kepada masyarakat.

