Hipertensi kekal cabaran kesihatan awam utama di Asia Tenggara – WHO

Hipertensi kekal cabaran kesihatan awam utama di Asia Tenggara – WHO

GENEVA,. Hipertensi terus menjadi cabaran utama kesihatan awam – pembunuh senyap yang menjejaskan lebih 294 juta orang di rantau Asia Tenggara, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).

“Faktor risiko tingkah laku yang boleh diubah suai seperti penggunaan tembakau dan alkohol, pengambilan garam yang tinggi, kurang aktiviti fizikal, pemakanan tidak sihat, dan tekanan mental terus menyumbang kepada peningkatan hipertensi,” kata Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagi Asia Tenggara, Saima Wazed.

Beliau menyampaikan mesej ini sempena Hari Hipertensi Sedunia, yang disambut setiap tahun pada Sabtu (17 Mei), bertujuan meningkatkan kesedaran serta mempromosikan pencegahan, pengesanan dan kawalan hipertensi.

Pada tahun ini, yang menandakan ulang tahun ke-20 sambutannya, ia diraikan dengan tema, “Ukur Tekanan Darah Anda dengan Tepat, Kawal Ia, Hidup Lebih Lama!”

“Hipertensi kekal sebagai penyumbang utama kepada kematian pramatang akibat serangan jantung dan strok di rantau ini. Lebih membimbangkan, keperluan yang tidak dipenuhi – yang ditakrifkan sebagai jurang antara mereka yang mengalami tekanan darah tinggi dan mereka yang didiagnosis, dirawat, dan dikawal dengan baik – kekal setinggi 88 peratus.

“Ini menunjukkan sembilan daripada setiap 10 orang yang mengalami hipertensi tidak menerima rawatan yang optimum,” kata Wazed.

“Dengan kemahuan politik yang kukuh, penglibatan masyarakat, dan pendekatan inovatif, kita dapat mengurangkan beban hipertensi dan semakin hampir untuk mencapai matlamat global kita mengurangkan kematian pramatang akibat penyakit tidak berjangkit sebanyak satu pertiga menjelang 2030,” katanya.

“Pada Hari Hipertensi Sedunia 2025 ini, marilah kita memperbaharui komitmen untuk bertindak secara tegas dan bersama. Marilah kita bekerjasama memastikan setiap individu mempunyai peluang untuk menjalani kehidupan lebih lama dan sihat – bebas daripada komplikasi hipertensi yang boleh dicegah,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )