Hubungan antara rakyat asas penting dalam hubungan dua hala Jepun-Malaysia – Duta

Hubungan antara rakyat asas penting dalam hubungan dua hala Jepun-Malaysia – Duta

KUALA LUMPUR,. Hubungan antara rakyat akan kekal sebagai asas penting dalam hubungan dua hala Jepun-Malaysia untuk tahun-tahun akan datang, kata Duta Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko.

“Satu daripada hasil (hubungan rakyat antara Malaysia dan Jepun) ialah pembukaan kampus cawangan Universiti Tsukuba Jepun di Malaysia September ini,” katanya dalam ucaptama pada Meja Bulat Jepun-ASEAN di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia di sini Selasa.

Menurut laporan kampus itu bakal menjadi kampus cawangan pertama universiti Jepun yang pernah diwujudkan di luar Jepun.

Bercakap kepada Bernama pada majlis itu, Katsuhiko berkata hubungan dua hala Malaysia dan Jepun telah menyaksikan para pemimpin bertukar lawatan pada tahun lepas apabila Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida melawat Malaysia pada November dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim mengunjungi Jepun pada Disember.

Pada 16 Disember 2023, Anwar dan Kishida mengadakan mesyuarat dua hala di luar Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun di Tokyo untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala susulan pertemuan mereka di Putrajaya.

Justeru itu, tumpuan untuk tahun ini ialah kedua-dua negara akan mempertingkatkan perkara yang telah disepakati oleh para pemimpin semasa kunjungan pada tahun lepas, tambah Katsuhiko.

Malaysia dan Jepun menjalinkan hubungan diplomatik pada 1957.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama Jepun dan Malaysia, beliau berkata Land of the Rising Sun bersedia berkongsi pengalaman menguruskan masyarakat yang semakin menua yang melibatkan pelbagai isu seperti penjagaan kesihatan, pencen, sistem sosial dan institusi keluarga.

Jepun bersedia untuk berkongsi kejayaan dan contoh yang baik dan juga sebaliknya supaya Malaysia tidak mengikuti dasar tertentu, kata Katsuhiko.

Menurut laporan sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa negara dijangka menjadi negara menua menjelang 2030 apabila 15.3 peratus penduduk berumur 60 tahun ke atas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)