
IATA: Kerugian perolehan global dijangka sehingga US$113 bilion berikutan COVID-19
KUALA LUMPUR,. Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menjangkakan kerugian perolehan di antara US$63 bilion dengan US$113 bilion (US$1=RM4.15) bagi perniagaan penumpang di peringkat global berikutan kesan COVID-19 ke atas industri pengangkutan udara dunia.
Ia berkata kerugian perolehan global dianggarkan berdasarkan dua kemungkinan senario, pertama COVID-19 di pasaran semasa yang mencatatkan lebih 100 kes setakat 2 Mac dapat dikekang, dan kedua penularan jangkitan itu secara lebih meluas.
Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac berkata banyak syarikat penerbangan telah mengecilkan kapasiti dan mengambil langkah kecemasan untuk mengurangkan kos.
“Kerajaan perlu memberi perhatian kepada perkara ini. Syarikat-syarikat penerbangan melaksanakan yang terbaik untuk mempunyai sumber kewangan mencukupi memandangkan mereka melaksanakan peranan penting dalam menghubungkan ekonomi dunia.
“Apabila kerajaan mahu memperkenalkan langkah rangsangan, industri penerbangan akan memerlukan pertimbangan bagi pelepasan cukai, caj dan penguntukan slot,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Penguntukan slot adalah kaedah pembahagian akses terhadap waktu pelepasan dan pendaratan di lapangan terbang atau kemudahan aerodrom lain kepada syarikat-syarikat penerbangan.
“Perubahan berlaku sekarang memandangkan kesan COVID-19 hampir tidak ada duluan seperti dalam tempoh lebih kurang dua bulan ini, prospek industri ini di kebanyakan negara di dunia telah mengalami perubahan mendadak kepada lebih buruk.
“Tidak jelas bagaimana virus itu akan merebak, namun sama ada kita melihat impak yang melanda beberapa pasaran dan mencatatkan kerugian perolehan US$63 bilion atau kesan lebih meluas sehingga membawa kerugian perolehan sebanyak US$113 bilion, ini adalah krisis,” katanya.
Dalam senario penularan COVID-19 adalah terhad, pasaran termasuk yang mempunyai lebih 100 kes positif setakat 2 Mac, akan mengalami kemerosotan ketara disusuli profil pemulihan mendadak.
Penganalisis juga menjangkakan keyakinan pengguna merosot di beberapa pasaran di Amerika Utara, Asia-Pasifik dan Eropah.
Di peringkat global, penurunan permintaan dijangka menyebabkan kerugian perolehan penumpang di seluruh dunia sebanyak 11 peratus bersamaaan US$63 juta, daripada nilai itu China mungkin mencatatkan US$22 bilion.
Pasaran berkaitan Asia, termasuk China, dijangka merekodkan US$47 bilion daripada angka tersebut.
Sekiranya metodologi yang sama diguna pakai bagi semua pasaran yang pada masa ini mencatatkan 10 atau lebih kes positif COVID-19 setakat 2 Mac, maka kesan kerugian perolehan penumpang di seluruh dunia meningkat kepada 19 peratus, bersamaan US$113 bilion.
Dari segi kewangan, ia akan bersamaan dengan apa yang dialami industri penerbangan semasa krisis kewangan global.
Pasaran kewangan telah memberi reaksi ketara susulan penularan COVID-19 memandangkan harga saham syarikat penerbangan susut hampir 25 peratus sejak virus itu mula dikesan, kira-kira 21 mata peratusan lebih besar daripada penurunan yang berlaku bagi tempoh sama ketika krisis Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003.
“Sebahagian besarnya, penyusutan harga ini telah memberi kejutan yang lebih besar kepada perolehan industri berbanding analisis terdahulu kami,” menurut IATA.
Analisis terdahulu IATA, dikeluarkan pada 20 Feb 2020 yang mengatakan kerugian perolehan sebanyak US$29.3 bilion itu adalah berdasarkan senario yang akan melihat kesan COVID-19 sebahagian besarnya terhad kepada pasaran yang berkaitan dengan China.
Sejak itu, virus tersebut telah merebak kepada lebih 80 negara dan tempahan hadapan bagi laluan selain China telah terjejas teruk.
Tiada anggaran yang tersedia bagi kesan ke atas operasi kargo buat masa ini.
— BERNAMA