
IATA: Permintaan penumpang pada Ogos catat peningkatan sederhana
KUALA LUMPUR,. Data trafik penumpang udara dunia bagi Ogos 2019 menunjukkan bahawa permintaan, yang diukur daripada jumlah hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK), meningkat 3.8 peratus berbanding bagi tempoh setahun lepas, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) hari ini.
Ini mengatasi 3.5 peratus peningkatan tahunan bagi Julai. Faktor muatan meningkat 0.3 peratus mata peratusan kepada 85.7 peratus, yang merupakan rekod baharu bagi bulanan, ketika syarikat penerbangan terus memaksimumkan penggunaan aset.
“Walaupun kita menyaksikan peningkatan dalam permintaan penumpang pada Ogos berbanding Julai, pertumbuhan kekal di bawah trend jangka panjang dan lebih rendah daripada kira-kira 8.5 peratus pertumbuhan tahunan yang dicatatkan pada 2016 sehingga suku pertama bagi tempoh 2018,” kata Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac.
Beliau berkata ini mencerminkan kesan daripada kelembapan ekonomi dalam beberapa pasaran utama, ketidaktentuan berhubung Brexit dan perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
“Namun begitu, syarikat menjalankan tugas baik dari segi memadankan kapasiti dengan permintaan. Dengan faktor muatan penumpang mencapai paras tertinggi baharu sebanyak 85.7 peratus, ini baik untuk kecekapan keseluruhan dan pertapakan karbon penumpang secara individu,” katanya.
Permintaan penumpang antarabangsa pada Ogos meningkat 3.3 peratus berbanding pada Ogos 2018, meningkat daripada 2.8 peratus pertumbuhan tahun ke tahun yang dicapai pada Julai.
Kecuali Amerika Latin, semua rantau mencatatkan peningkatan, diterajui syarikat penerbangan di Afrika. Kapasiti meningkat 2.9 peratus dan faktor muatan naik 0.3 mata peratusan kepada 85.6 peratus, kata IATA, yang mewakili kira-kira 290 syarikat penerbangan yang menyumbangkan 82 peratus trafik udara dunia.
Trafik syarikat penerbangan di Asia-Pasifik bagi Ogos meningkat 3.5 peratus berbanding bagi tempoh setahun lepas, yang jauh lebih tinggi berbanding peningkatan 2.6 peratus pada Julai.
Bagaimanapun, ini kekal di bawah kadar pertumbuhan purata jangka panjang kira-kira 6.5 peratus, yang mencerminkan pertumbuhan ekonomi semakin perlahan di India dan Australia serta kesan daripada pertikaian perdagangan.
Kapasiti naik 3.9 peratus dan faktor muatan susut 0.4 mata peratusan kepada 82.8 peratus, katanya.
Sementara itu, permintaan bagi perjalanan domestik meningkat 4.7 peratus pada Ogos 2019 berbanding pada Ogos 2018, tidak berubah daripada bulan sebelumnya.
Kapasiti naik 4.6 peratus dan faktor muatan meningkat 0.1 mata peratusan kepada 85.9 peratus, katanya.
— BERNAMA