ANKARA,. Lebih 40 aset tenaga di sembilan negara di Asia Barat mengalami kerosakan “teruk atau sangat teruk” susulan konflik berterusan, menurut Agens
ANKARA,. Lebih 40 aset tenaga di sembilan negara di Asia Barat mengalami kerosakan “teruk atau sangat teruk” susulan konflik berterusan, menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), lapor Agensi Anadolu (AA) memetik laporan media pada Ahad.
Pengarah Eksekutif IEA Fatih Birol berkata kerosakan itu boleh memanjangkan gangguan terhadap rantaian bekalan global walaupun selepas konflik berakhir.
“Ia akan mengambil masa untuk medan minyak, loji penapisan dan saluran paip kembali beroperasi,” katanya. Birol berkata lebih tiga minggu pertempuran telah mengganggu keseluruhan rantaian bekalan tenaga dan hampir menghentikan perkapalan melalui Selat Hormuz.
Beliau berkata kesan gangguan itu setanding dengan “dua krisis minyak utama pada 1970-an dan krisis gas asli 2022 … digabungkan.”
“Bukan sahaja minyak dan gas, malah beberapa nadi penting ekonomi global … perdagangan semuanya terganggu,” tambahnya.
Birol memberi amaran bahawa Asia paling terjejas berikutan kebergantungan kepada bekalan tenaga serantau. “Setiap negara akan mengutamakan kepentingan domestik masing-masing, namun sekatan eksport yang serius tanpa justifikasi mungkin bukan sesuatu yang memberi kelebihan,” katanya.
IEA merancang melepaskan 400 juta tong minyak daripada rizab kecemasan bagi mengurangkan kejutan bekalan, sambil menambah bahawa rizab tambahan mungkin dilepaskan jika gangguan berterusan.
Birol menegaskan pembukaan semula Selat Hormuz amat penting bagi memulihkan aliran tenaga global. Selat Hormuz telah terganggu sejak awal Mac, dengan kira-kira 20 juta tong minyak biasanya melalui laluan itu setiap hari, dan gangguan itu telah meningkatkan kos perkapalan serta menolak harga minyak global lebih tinggi.
Serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran bermula pada 28 Feb dan dilaporkan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,300 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu Ali Khamenei.
Iran telah membalas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS.
–BERNAMA-Anadolu

