KUALA LUMPUR,. IHH Healthcare Malaysia melancarkan rangkaian respons kecemasan berpusat yang boleh diakses menerusi satu nombor, iaitu 15551, yang men
KUALA LUMPUR,. IHH Healthcare Malaysia melancarkan rangkaian respons kecemasan berpusat yang boleh diakses menerusi satu nombor, iaitu 15551, yang menawarkan perkhidmatan ambulans percuma kepada penduduk di seluruh Lembah Klang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Kamal Amzan berkata rangkaian itu menggabungkan enam hospital yang mengambil bahagian, iaitu Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Hospital Pantai Ampang, Hospital Pantai Cheras, Hospital Pantai Klang dan Prince Court Medical Centre di bawah satu pusat kawalan bersepadu.
Beliau berkata inisiatif itu akan memudahkan orang ramai mendapatkan bantuan kecemasan tanpa perlu keliru tentang hospital yang menyediakan perkhidmatan ambulans, selain merancang untuk memperluas model berkenaan ke Pulau Pinang, yang mempunyai tiga hospital kendalian IHH.
Dr Kamal berkata pasukan pusat akan menilai situasi kecemasan dan menggerakkan ambulans terdekat yang tersedia serta dilengkapi keupayaan klinikal bersesuaian.
“Pada masa sama, hospital penerima boleh membuat persediaan awal sementara pesakit diberikan rawatan sepanjang perjalanan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Nombor Kecemasan Berpusat IHH Healthcare Malaysia di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Beliau berkata sebaik sahaja ambulans bergerak, pemanggil akan menerima pautan menerusi WhatsApp dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk menjejaki lokasi ambulans secara masa nyata, serta melihat anggaran waktu ketibaannya.
Pusat Kawalan Ambulans IHH boleh mengendalikan beberapa panggilan kecemasan secara serentak dengan menyelaraskan pergerakan ambulans daripada enam hospital yang mengambil bahagian.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu, Kamal berkata perkhidmatan kecemasan bebas tol berkenaan terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan, tanpa mengira sama ada mereka mempunyai insurans perubatan swasta atau tidak.
“Jadi, rakyat Malaysia yang tidak dapat menghubungi talian 999 boleh menghubungi 15551, dan perkhidmatan ambulans adalah percuma (untuk hospital IHH yang mengambil bahagian).
“Kami akan menentukan sama ada mereka dimasukkan ke hospital kami atau dipindahkan ke hospital kerajaan. Bagaimanapun, rawatan di jabatan kecemasan tetap diberikan tanpa mengira status insurans mereka,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Hanifah Hajar Taib yang merasmikan pelancaran itu menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai langkah praktikal dan tepat pada masanya dalam melengkapi sistem respons kecemasan 999.
Dalam ucapannya, Hanifah Hajar berkata peningkatan jumlah penduduk negara serta permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan menjadikan sokongan daripada penyedia penjagaan kesihatan swasta penting dalam membantu mengurangkan tekanan terhadap perkhidmatan ambulans awam.
“Usaha meningkatkan perkhidmatan kecemasan memerlukan tanggungjawab bersama. Kerjasama erat antara agensi, pihak berkuasa tempatan dan sektor swasta amat penting dalam menangani kesesakan trafik, menghadapi cuaca buruk serta memastikan komunikasi berjalan lancar.
“Justeru, kami amat mengalu-alukan sokongan daripada penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta,” katanya.
— BERNAMA

