
Indeks pengeluaran perindustrian naik 12.5 peratus pada Julai
KUALA LUMPUR,. Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 12.5 peratus pada Julai 2022 berbanding tempoh sama tahun sebelumnya yang merupakan kenaikan dua angka bagi bulan kedua berturut-turut.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pengembangan IPP itu dipacu oleh sektor pembuatan, elektrik dan perlombongan yang masing-masing mencatat peningkatan sebanyak 14.9 peratus, 13.2 peratus dan 3.2 peratus.
Output sektor pembuatan meningkat 14.9 peratus pada Julai 2022 selepas mencatat pertumbuhan 14.4 peratus pada Jun 2022.
“Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan bagi tempoh itu adalah produk kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (73.6 peratus), produk peralatan elektrik & elektronik (17.3 peratus) dan produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (23.9 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menyentuh kenaikan 3.2 peratus pada Julai 2022 berbanding tempoh sama pada 2021, DOSM berkata ini dipelopori oleh pengembangan sebanyak 12.6 peratus dalam indeks gas asli manakala indeks minyak mentah dan kondensat merosot 8.6 peratus.
Selain itu, industri berorientasikan domestik dan eksport masing-masing mencatat pertumbuhan sebanyak 30.9 peratus dan 9.5 peratus.
Menurutnya, IPP bagi Jan-Julai 2022 meningkat 6.6 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, didorong oleh indeks pembuatan (8.8 peratus) dan indeks elektrik (6.1 peratus) manakala indeks perlombongan susut 0.8 peratus.
— BERNAMA