Industri penerbangan Vietnam kembali pulih ke tahap prapandemik

Industri penerbangan Vietnam kembali pulih ke tahap prapandemik

HANOI,. Ketika Vietnam mula keluar daripada bayangan pandemik COVID-19, sektor pengangkutan udara negara itu menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan yang mengagumkan, melepasi paras penumpang sebelum pandemik, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Menurut data terkini Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Vietnam (CAAV), suku pertama 2025 mencatatkan lebih 20.7 juta penumpang, meningkat 9.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, perjalanan domestik menyumbang lebih sembilan juta penumpang, meningkat 5.4 peratus, manakala perjalanan antarabangsa melonjak kepada lebih 11.7 juta, peningkatan kukuh sebanyak 12.3 peratus.

Peningkatan semula dalam jumlah penumpang ini menandakan pemulihan sepenuhnya industri penerbangan Vietnam yang sebelum ini terjejas teruk akibat pandemik.

Angka itu bukan sahaja mencerminkan aktiviti yang kembali ke tahap pra-COVID, malah menunjukkan trend pertumbuhan, dengan jumlah penumpang antarabangsa meningkat 11 peratus dan domestik naik 5.8 peratus berbanding tahun 2019.

Sepanjang musim puncak perjalanan sempena Tahun Baharu Vietnam (Tet), dari 14 Jan hingga 12 Feb, pasaran mencatat kira-kira 7.3 juta penumpang, meningkat 11.7 peratus berbanding tahun lalu.

Sementara itu, pengangkutan kargo berjumlah 329,000 tan, meningkat 12.4 peratus bagi tempoh yang sama. Ini termasuk lebih 60,000 tan untuk pengangkutan domestik (naik 2.8 peratus) dan 269,000 tan untuk pengangkutan antarabangsa (naik 14.8 peratus).

CAAV memuji pertumbuhan ini meskipun berdepan cabaran berterusan seperti kekurangan pesawat dalam kalangan syarikat penerbangan Vietnam.

Lapangan terbang utama seperti Noi Bai, Da Nang dan Tan Son Nhat turut mencatat peningkatan ketara dari segi jumlah penumpang dan trafik kargo.

Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat merekodkan lebih 1,000 penerbangan harian tanpa sebarang kesesakan, dengan operasi berjalan lancar dan selamat.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )