
Inisiatif usahawan muda kota, bantu belia pasca COVID-19 – Santhara
KUALA LUMPUR,. Kementerian Wilayah Persekutuan bersama Kementerian Belia dan Sukan memperkenalkan Inisiatif Usahawan Muda Kota dalam membantu golongan belia dan anak muda merangsang ekonomi negara melalui keusahawanan pasca pandemik COVID-19.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Santhara Kumar berkata inisiatif itu adalah dengan menyediakan ruang perniagaan (kiosk) kepada usahawan muda di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Memang benar kerajaan boleh menyediakan peruntukan, ruang dan peluang namun ia lebih bermakna jika belia sendiri bangkit dan bingkas mempertingkat potensi diri.
“Gaya hidup dan cara bekerja yang dahulu perlu berubah sesuai dengan keadaan semasa. Saya percaya bahawa belia pada hari ini juga telah menerima, menghayati dan mengambil bahagian dalam norma-norma baharu dalam kehidupan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Sosioekonomi), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman pada majlis Sambutan Hari Belia Negara dan Penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, malam ini.
Santhara berkata kementerian juga memperkenalkan lima lagi inisiatif tambahan Wilayah Cakna yang merangkumi program MYJobs@Wilayah, MYFood@Wilayah, MYSchoolBus@Wilayah, MYGrocer@Wilayah dan MYMedic@Wilayah.
Katanya, kesemua program berkenaan bertujuan membantu golongan miskin bandar yang terkesan dengan COVID-19 dalam mengurangkan beban sara hidup serta meningkatkan taraf sosio ekonomi dari segi kesihatan, perumahan, keusahawanan, kemasyarakatan dan kemudahan infrastruktur.
Pada majlis itu, Persatuan Belia Cempaka dari kawasan Lembah Pantai muncul juara Anugerah Perdana Belia Negara bagi kategori pertubuhan dan membawa pulang wang tunai RM10,000 berserta piala dan sijil penghargaan, manakala johan kategori individu lelaki dan wanita dimenangi Khairul Rizam Abu Samah dan Kavitha A/P Maheedran menyaksikan masing-masing meraih wang tunai RM3000, piala serta sijil penghargaan.
— BERNAMA