Iran bidas disingkir daripada Suruhanjaya Hak Asasi Wanita PBB

Iran bidas disingkir daripada Suruhanjaya Hak Asasi Wanita PBB

NEW YORK: Kementerian Luar Iran membidas keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyingkirkan negara itu daripada Suruhanjaya PBB mengenai Status Wanita (CSW) berikutan tindakan keras Iran terhadap bantahan kumpulan itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini yang dicetuskan oleh kematian seorang wanita.

“Ini adalah keputusan yang bermotifkan politik dan tidak boleh diterima tanpa sebarang asas undang-undang. Kami mengecam sekeras-kerasnya,” kata jurucakap Kementerian Luar Nasser Kanaani pada Khamis, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

PBB tidak seharusnya membenarkan kuasa dunia menggunakan politik, kata jurucakap itu di laman sesawang kementerian.

Majlis Ekonomi dan Sosial PBB memutuskan perkara itu pada Rabu, dengan 29 daripada 54 negara anggotanya menyokong resolusi yang dikemukakan Amerika Syarikat supaya menyingkirkan Iran daripada CSW.

Rusia dan China mengundi menentang resolusi itu.

Suruhanjaya 45 anggota yang dipilih untuk tempoh beberapa tahun itu sepatutnya memperkukuh kesaksamaan gender dan peranan wanita. Majlis Ekonomi dan Sosial itu menyuarakan kebimbangan serius terhadap tindakan Iran “sejak September 2022 yang menjejas dan menindas hak asasi wanita dan kanak-kanak perempuan, termasuk hak untuk kebebasan bersuara dan pendapat, yang lazimnya menerusi penggunaan kekerasan yang berlebihan.”

Di Iran, rakyat membuat bantahan terhadap elit politik yang berkuasa di negara itu sejak pertengahan September. Protes antikerajaan itu dicetuskan oleh kematian seorang wanita Kurdish Iran berusia 22 tahun, Mahsa Amini, pada 16 Sept.

Beliau meninggal dunia dalam tahanan polis hanya beberapa hari selepas ditangkap kerana melanggar kod pakaian untuk wanita Islam Iran.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )