
Iran enggan perluas perang, akan bertindak balas sewajarnya – Presiden Pezeshkian
TEHRAN,. Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan, negaranya tidak berhasrat untuk “meluaskan kancah perang” dengan Israel, namun akan bertindak balas secara “sewajarnya” terhadap sebarang serangan.
Kenyataan itu dibuat Pezeshkian dalam perbualan telefon bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Isnin, menurut agensi berita rasmi Iran.
Beliau turut mendakwa, tindakan “pencerobohan” Israel telah mengorbankan orang awam, saintis serta pemimpin tentera di Iran.
“Iran bukan pihak yang memulakan perang ini, tetapi kami akan bertindak balas berdasarkan tahap serangan yang dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, Pezeshkian turut mengaitkan penyertaan semula Iran dalam rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat kepada penghentian serangan rejim Zionis ke atas negara-negara serantau.
Sementara itu, Erdogan menyatakan kesediaan Turkiye untuk memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi meredakan ketegangan dan menyokong usaha kembali ke meja rundingan nuklear, menurut laporan agensi berita rasmi Turkiye.
–Agensi