Isu Buku Hannah Yeoh: Polis Serah Kertas Siasatan kepada Pejabat Peguam Negara

Isu Buku Hannah Yeoh: Polis Serah Kertas Siasatan kepada Pejabat Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merujuk kertas siasatan mengenai buku “Becoming Hannah: A Personal Journey” yang melibatkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) pada 10 Januari lalu. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata pihaknya kini sedang menunggu arahan lanjut daripada AGC mengenai tindakan yang perlu diambil.

Sehingga kini, PDRM telah menerima sebanyak 182 laporan polis berkaitan isu ini. Kertas siasatan dibuka di bawah Kanun Keseksaan serta kertas enkuiri polis (KEP).

Pada Disember lalu, Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut, memaklumkan bahawa beliau akan membuat laporan polis berhubung penyebaran video dan mesej yang mendakwa beliau berusaha memurtadkan umat Islam dan menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian. Penyebaran video dan mesej berunsur fitnah itu didakwa boleh menjejaskan rayuan saman fitnah yang sedang dijalankan terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Pada 23 Disember, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah Hannah terhadap Musa berhubung kenyataan yang dibuatnya pada satu forum di sebuah universiti empat tahun lalu. Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi, memutuskan bahawa Hannah gagal membuktikan bahawa Musa bertindak dengan niat jahat dan kenyataan yang dibuat tidak mengandungi unsur fitnah.

Rentetan itu, beberapa pihak tampil membuat laporan polis untuk mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku tersebut, yang dianggap berisiko mengancam keselamatan negara.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )