Itali beri kerakyatan kepada bayi Britain yang sakit tenat

Itali beri kerakyatan kepada bayi Britain yang sakit tenat

ROM: Itali kelmarin memberikan kerakyatan kepada seorang bayi yang sakit tenat yang menjadi tumpuan dalam perbalahan perundangan di Britain mengenai sama ada dia harus terus menerima rawatan yang menyelamatkan nyawanya.

Ibu bapa kepada Indi Gregory telah melawan dalam satu kes terhadap para doktor yang menyatakan sudah tiba masanya untuk membuka alat sokongan nyawa daripada bayi berusia lapan bulan itu, yang menghidap penyakit mitochondrial.

Dean Gregory dan Claire Staniforth mahu memindahkan bayi perempuan mereka ke hospital Bambina Gesu milik Vatikan di Rom, yang telah menawarkan untuk merawatnya.

Bagaimanapun seorang hakim Mahkamah Tinggi di England pada minggu lepas enggan memberikan kebenaran, menyatakan bahawa pemindahan sebegitu tidak akan menjadi kepentingan terbaiknya. Pihak medik menegaskan bahawa rawatan yang diteruskan adalah menyakitkan dan sia-sia.

Mahkamah Rayuan di London dan para hakim di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) di Strasbourg, Perancis, telah memilih untuk tidak campur tangan.

Kurang dari sejam sebelum tempoh tamat kelmarin untuk penempatan secara sah menghalang para doktor dari mula membuka alat sokongan, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni mengadakan mesyuarat kabinet untuk memberikan kerakyatan Itali kepada bayi itu.

“Mereka menyatakan tidak banyak harapan untuk si kecil Indi, namun saya akan melakukan apa yang termampu hingga akhir untuk mempertahankan nyawanya. Serta membela hak ibu dan bapanya untuk melakukan segala-galanya yang mereka mampu untuknya,” kata Meloni menerusi media sosial.

Meloni mengetuai parti haluan kanan Brothers of Italy, yang memperkenal dan mempertahankan nilai-nilai tradisional dalam keluarga Katolik.

Kerajaan beliau menyatakan keputusan untuk memberikan kerakyatan itu telah dibuat berikutan permohonan oleh peguam ibu bapa bayi itu, sambil menambah bahawa Rom telah menawarkan untuk menanggung kos rawatan bayi tersebut.

Bapa Indi mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Itali dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui kumpulan kempen menyokong pasangan berkenaan, Christian Concern. “Hati saya dipenuhi dengan rasa gembira kerana pihak Itali telah memberikan Claire dan saya harapan dan kepercayaan kembali kepada kemanusiaan,” katanya.

“Rakyat Itali telah menunjukkan sokongan penuh kasih sayang kepada kami dan saya mendoakan perkara yang sama daripada pihak berkuasa Britain.”

Hakim Mahkamah Tinggi England Robert Peel, yang membuat keputusan ke atas kes itu pada bulan lepas, telah dijadual mengadakan perbicaraan peribadi dalam talian pada Selasa.

— Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS Wordpress (0) Disqus ( )