Jawatankuasa khas rentas kementerian bantu atasi harga baja, racun diwujudkan

Jawatankuasa khas rentas kementerian bantu atasi harga baja, racun diwujudkan

KUALA LUMPUR,. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mewujudkan sebuah jawatankuasa khas rentas kementerian bagi membantu pengusaha pertanian yang menghadapi masalah kenaikan harga baja dan racun di pasaran.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata jawatankuasa itu akan mengenal pasti masalah terlebih dahulu sebelum mengemukakan cadangan dan langkah yang perlu diambil tindakan lanjut.

“Kita sedar ramai petani dan pesawah sedang berdepan dengan masalah berkenaan, jadi kita sedang menelitinya dan mendengar setiap keluhan mereka.

“Kita juga sedang menggerakkan satu pasukan petugas (task force) dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi menangani masalah itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) Sesi 2/2021 antara kerajaan dan tujuh syarikat peneraju di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan golongan petani meminta kerajaan atau pihak berkuasa memantau harga racun rumpai dan baja tanaman yang kini naik mendadak sehingga 50 peratus susulan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak Jun lepas.

Golongan berkenaan mendakwa kenaikan harga racun rumpai dan baja itu membebankan mereka selain tidak dapat menjual atau memasarkan hasil tanaman sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19.

Sementara itu, Ronald berkata sehingga 28 Okt lepas, 3,811 pesawah telah mendapat manfaat daripada program Smart SBB melibatkan kawasan penanaman padi seluas 9,777.7 hektar di beberapa lokasi, termasuk Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor dan Seberang Perak.

Program Smart SBB adalah hala tuju baharu industri padi dan beras negara yang sedang dilaksanakan MAFI bagi meningkatkan produktiviti dalam mencapai 75 peratus Kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras yang ditetapkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ia juga mewujudkan pengurusan sawah secara cekap dan sistematik menerusi pelaksanaan secara koperasi, persatuan atau berkelompok sekali gus dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah selain turut meningkatkan hasil pendapatan pesawah sehingga 50 peratus.

“Ini pendekatan yang ditambah baik MAFI dan kita lihat jika konsep ini dilaksanakan sepenuhnya negara akan dapat mengurangkan import beras selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 sekali gus berhasil meningkatkan pendapatan dan produktiviti pesawah,” katanya.

Tujuh syarikat peneraju yang terlibat adalah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Satu Cita Sdn Bhd, PTG Builder Services Sdn Bhd, Sermaju Agro Sdn Bhd, Panji Tulin Enterprise, Advansia (Sarawak) Sdn Bhd dan Unggul Venture Sdn Bhd, yang akan menanggung kos penanaman padi sebanyak RM3,200 per hektar.

Pada masa sama, Ronald turut melancarkan buku koleksi Smart SBB “Lonjakan Lestari Industri Padi dan Beras” yang memaparkan koleksi kisah kejayaan pelaksanaan program berkenaan yang semakin mendapat sambutan pemegang taruh terutamanya pemain Industri.

Beliau juga melancarkan produk sulung Smart SBB Sesi 1/2021 iaitu Beras Wangi Tempatan Sunflower dari ladang Smart SBB Sekinchan yang dijangka berada di pasaran seluruh negara mulai esok dengan harga runcit RM33 bagi setiap pek lima kilogram.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This