
JCorp Pacu Pelaburan Strategik, Perkukuh Daya Saing Johor
JOHOR BAHRU,. Johor Corporation (JCorp) secara aktif sedang mentakrifkan semula seni bina ekonomi Johor di luar sektor tradisional dengan membentuk gelombang platform industri yang akan datang, bermula dari pembuatan termaju sehingga kepada teknologi makanan, infrastruktur digital, sistem ekonomi kitaran dan pertanian berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Presiden dan Ketua Eksekutif Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata melalui kesemua ini, syarikat milik kerajaan negeri itu sedang membangunkan industri serta membentuk ekonomi yang bertanggungjawab dan siap sedia masa hadapan.
“JCorp sedng memberi tumpuan ke arah ekosistem pembangunan pelaksanaan, membolehkan aliran modal dan memacu pertumbuhan jangka panjang sejajar dengan matlamat Maju Johor 2030”.
“Kami tidak menunggu pertumbuhan untuk berlaku, kami membentuk haluannya melalui pelaburan yang berani, reka bentuk peringkat sistem dan pelaksanaan jangka panjang,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Memandangkan Johor sedang memecut ke dalam bab ekonomi baharu yang dibentuk oleh aliran mega dan dipacu oleh Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), JCorp berada dalam kedudukan strategik bagi berfungsi sebagai pemboleh ubah pertumbuhan dan kerjasama.
“Kami sedang memanfaatkan JS-SEZ untuk meletakkan Johor sebagai koridor inovasi bernilai tinggi. Dengan Singapura di depan pintu kami, Johor mempunyai kelebihan kedekatan serta potensi, menjadikannya ideal bagi industri generasi akan datang seperti elektrik dan elektronik, ekonomi digital, ekonomi hijau, industri makanan, halal, teknologi pertanian dan tenaga boleh baharu.
“Inisiatif paling strategik kami dalam JS-SEZ, Ibrahim Technopolis (IBTEC), bersedia untuk menghasilkan kesan pengganda yang mantap terutamanya dalam penciptaan peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.
Beliau berkata IBTEC direka untuk menyokong pembangunan infrastruktur, kluster inovasi serta platform yang selaras dengan prinsip-prinsip kelestarian dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
JCorp juga bekerjasama rapat dengan agensi-agensi seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Johor untuk menyelaraskan fasilitasi pelabur selain membolehkan penjajaran pengawalseliaan.
Beliau berkata JS-SEZ menyediakan asas ke arah perindustrian inklusif serta JCorp mengutamakan inisiatif yang mewujudkan titik masuk untuk bakat dan perniagaan tempatan dalam rangka kerja ini, pada masa yang sama, turut menarik pemain global yang berimpak tinggi.
“JCorp berpendapat kedua-dua landasan ini adalah penting. Kami sedang melabur dalam pertumbuhan syarikat-syarikat yang berpangkalan di Johor untuk skala secara serantau sambil membina infrastruktur dan persekitaran dalam menarik pemain global yang berimpak tinggi,” katanya.
Peranan JCorp adalah untuk membangunkan ekosistem perindustrian yang akan membolehkan syarikat-syarikat Johor berkembang dengan menghubungkannya ke pasaran antarabangsa termasuk membolehkan pembangunan platform infrastruktur dan kerjasama.
Beliau ketika mengulas lanjut memberitahu persekitaran ini direka bukan sekadar untuk menjadi penganjur kepada perniagaan tetapi bagi membantu mereka berkembang melalui lokasi bersama, perkongsian perkhidmatan dan usaha sama yang didorong inovasi.
“Pada masa yang sama, kami mengurus persekitaran yang mana pelabur asing tidak hanya mengekstrak nilai tetapi menyumbang secara bermakna kepada ekonomi tempatan melalui pemindahan teknologi, integrasi pembekal dan pembangunan bakat.
“Perkongsian asing adalah penting tetapi menjana pertumbuhan juara tempatan adalah rahsia kejayaan Johor,” katanya
Syed Mohamed berkata JCorp juga secara aktif mengambil bahagian dalam pembangunan bakat untuk memastikan bekalan tenaga kerja yang mencukupi.
“Secara kritikal, kami sedang memastikan bahawa pembangunan bakat akan sentiasa berjalan. Pusat Pembangunan Kemahiran Johor dan perkongsian kami dengan Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) sedang membina saluran bakat yang mantap melalui pendidikan teknikal yang disasarkan dan program perendaman industri rentas sempadan.
Beliau berkata Johor Skills sedang menyampaikan program modular yang memberi tumpuan kepada sektor seperti pembuatan lanjutan, tenaga boleh baharu dan infrastruktur data.
“Melalui kerjasama Republic Polytechnic dan Institut Pendidikan Teknikal Singapura, kami berhasrat untuk meningkatkan atau melahirkan 10,000 pekerja setahun menjelang 2027 bagi menyokong kesediaan tenaga kerja khusus di sektor JS-SEZ,” katanya lagi.
JS-SEZ merupakan inisiatif bersama oleh Malaysia dan Singapura untuk mewujudkan hab ekonomi yang dinamik serta kompetitif di Johor dengan memanfaatkan sinergi antara kedua-dua negara dengan tujuan menarik pelaburan, meningkatkan sambungan termasuk memupuk pertumbuhan inklusif melalui insentif cukai, pembangunan infrastruktur dan proses perniagaan yang diselaraskan.
— BERNAMA