Lebih 90% penginapan pekerja asing tidak patuhi Akta 446

KUALA LUMPUR,. Penginapan yang disediakan kepada 1.4 juta atau 91.1 peratus pekerja asing di negara ini, tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 atau Akta 446.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata statistik ini amat membimbangkan, lebih-lebih lagi ketika negara sedang berdepan ancaman pandemik COVID-19.

“Kerajaan menerima permohonan Perakuan Penginapan membabitkan hanya 143,587 atau 8.89 peratus daripada 1.6 juta pekerja asing di negara ini setakat, 31 Oktober lepas.

“Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa majikan dan penyedia penginapan berpusat yang menyediakan penginapan kepada 1.4 juta pekerja asing di Malaysia masih gagal memohon perakuan itu daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di sini, semalam, yang turut dihadiri Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Saravanan berkata operasi penguatkuasaan Akta 446 akan dilaksanakan secara berterusan dan majikan yang ingkar akan dikenakan tindakan tanpa sebarang kompromi.

“Sejak penguatkuasaan Akta 446 bermula 1 September lepas, JTKSM telah menjalankan 1,850 pemeriksaan melibatkan 1,813 majikan dan 37 penyedia penginapan berpusat di seluruh Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“JTKSM meletakkan sasaran 25,000 pemeriksaan menjelang 2021,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing berkata Perakuan Penginapan akan menjadi prasyarat kepada majikan yang berhasrat mengambil pekerja asing baharu berkuat kuasa 1 Julai 2021.

“Sebelum majikan membuat permohonan membawa masuk pekerja asing, majikan perlu mendapatkan Perakuan Penginapan daripada Kementerian Sumber Manusia bagi membolehkan Jabatan Imigresen Malaysia mengeluarkan visa.

“Ini bermakna, sebelum pekerja asing tiba di negara ini, penginapan yang mematuhi Akta 446 perlu disediakan majikan. Jika majikan membawa masuk pekerja asing tanpa Perakuan Penginapan, pekerja itu adalah pendatang tanpa izin,” katanya.

Ismail Sabri turut mengingatkan para majikan bahawa Akta 446 bukan hanya melibatkan pekerja asing, tetapi turut merangkumi pekerja tempatan.

“Fokus penguatkuasaan Akta 446 pada masa ini adalah kepada pekerja asing kerana kes COVID-19 melibatkan golongan itu adalah tinggi,” katanya.

Ismail Sabri berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas Penyelarasan Pekerja Asing kali kedua yang berlangsung kelmarin, turut bersetuju supaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mempercepatkan kelulusan permohonan pembinaan perumahan pekerja daripada majikan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )