Kolej Thailand tubuhkan Kursi Ismail Sabri perkara Bahasa Melayu

Kolej Thailand tubuhkan Kursi Ismail Sabri perkara Bahasa Melayu

BANGKOK,. Thai Global Business Administration Technological College (TGBC), Thailand, pada Isnin secara rasmi menubuhkan Kursi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperkasa Bahasa Melayu di rantau ini.

Pejabat bekas Perdana Menteri itu, dalam kenyataan memaklumkan, penubuhan kursi itu diumumkan oleh Pengarah TGBC, Dr. Prattana Srisuk dalam satu majlis, di sini, pada Isnin.

“Kursi itu secara khusus untuk memperkenal dan mempromosikan pengajian Bahasa Melayu dan ketamadunan Melayu di kolej tersebut dan di Thailand,” menurut kenyataan itu.

Difahamkan, ia merupakan kursi pertama di institut pengajian tinggi di Thailand yang khusus untuk pengajian dan penyelidikan ketamadunan Melayu dan Bahasa Melayu.

Sementara itu, Ismail Sabri, bekas Perdana Menteri (Ogos 2021 hingga November 2022), mengucapkan terima kasih kepada TGBC kerana mengiktiraf usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu di rantau ini.

Beliau berharap penubuhan Kursi tersebut akan meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu di negara berkenaan.
“Bahasa Melayu mempunyai kira-kira 300 juta penutur di rantau Asia Tenggara.

“Di Thailand juga tidak asing, majoriti penduduk di selatan Thailand boleh berkomunikasi dalam Bahasa Melayu. Saya berharap usaha ini akan merealisasikan hasrat untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN,” katanya.

Terdahulu, beliau turut menyampaikan ucaptama yang bertajuk Pendigitalan Keluarga Dunia untuk Keamanan Sejagat, di kolej tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )