JOHOR BAHRU,. Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menggesa pihak kerajaan, sektor swasta serta komuniti setempat agar mengambil langkah proaktif
JOHOR BAHRU,. Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menggesa pihak kerajaan, sektor swasta serta komuniti setempat agar mengambil langkah proaktif dan berasaskan tindakan kolektif, bagi menangani kesan fizikal serta psikologi fenomena jerebu terhadap pelajar dan keluarga.
Seri Paduka Baginda bertitah tindakan bersepadu secara menyeluruh amat mendesak bagi mendepani cabaran itu, di samping menekankan kepentingan merangka strategi jangka panjang dan bukannya sekadar penyelesaian sementara sewaktu krisis melanda.
“Tindakan kolektif terutamanya daripada pihak kerajaan dan sektor swasta bagi merancang langkah proaktif diperlukan, bagi menangani kesan fizikal serta psikologi jerebu terhadap pelajar dan keluarga.
“Di samping itu, kerjasama erat daripada komuniti setempat amat diperlukan untuk memperkasakan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) agar lebih berkesan.
“Pihak berkaitan juga perlu merangka pelan strategi bagi jangka masa panjang, bukannya sekadar penyelesaian sementara sewaktu krisis jerebu melanda,” titah Seri Paduka Baginda.
Kenyataan titah perutusan berkenaan dimuat naik menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, malam tadi.
Sesi Menghadap Takzim Kerajaan Negeri Johor, Ibu Bapa serta Warga Pendidik Berhubung Isu Jerebu dan Persekolahan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Kesidang, Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) semalam, menzahirkan keprihatinan mendalam Raja Permaisuri Agong terhadap kesejahteraan serta pendidikan generasi muda.
Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.
Dalam perutusan sama, Seri Paduka Baginda turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan khas kepada Tan Sri Jeffrey Cheah serta Sunway Healthcare, atas kesudian menyumbangkan pelitup muka bagi kegunaan murid-murid sekolah di Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Selain itu, Raja Permaisuri Agong juga memuji komitmen Tan Sri Patrick Yeoh dan YTL Communications dalam membekalkan kad SIM bagi menyokong akses pembelajaran digital pelajar, di samping menghargai pelbagai rakan kerjasama lain yang turut menyumbang demi kebajikan anak-anak sekolah.
Sesi menghadap berkenaan turut disertai Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Dr Muhammad Naqib Md Ghazali.
Hadir sama wakil jabatan negeri dan Persekutuan, wakil guru, ibu bapa serta wakil penduduk Bangsa Johor Bahagia (BJB) dan Program Perumahan Rakyat (PPR).
— BERNAMA

