JKNPP minta semua pihak tidak buat spekulasi kematian pegawai perubatan HPP

JKNPP minta semua pihak tidak buat spekulasi kematian pegawai perubatan HPP

GEORGE TOWN,. Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memohon semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kematian seorang petugas Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini pada 17 April lepas.

Pengarahnya Dr Maarof Sudin berkata beliau dimaklumkan bahawa polis yang sedang menyiasat kes itu telah mengarahkan bedah siasat dijalankan.

Beliau berkata memandangkan kes ini masih dalam siasatan polis, dan bagi menghormati keluarga mendiang, JKNPP memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian itu.

“Jabatan ini (JKNPP) dan pihak HPP akan memberi sepenuh kerjasama kepada pihak polis dalam siasatan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian 17 April lepas petugas itu ditemukan maut, dipercayai selepas terjatuh daripada unit kediamannya di bangunan berhampiran.

Dr Maarof yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga serta rakan-rakan mendiang berkata, mendiang merupakan seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang telah melaporkan diri dan ditempatkan di HPP pada 4 April lepas.

Menurutnya laporan lengkap siasatan masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal, termasuk laporan bedah siasat Jabatan Forensik HPP, yang akan dikemukakan kepada polis bagi membantu siasatan.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Norlela Ariffin dalam kenyataan berasingan memohon Kementerian Kesihatan (KKM) menyiasat secara menyeluruh kes itu, berikutan ia didakwa kejadian kedua dalam tempoh kurang dua tahun yang membabitkan doktor.

Norlela berkata pihak yang terlibat juga perlu memberi penjelasan mengenai kes dan situasi dihadapi doktor di hospital di negeri ini.

“Saya pernah membangkitkan tentang tempoh masa kerja yang tidak logik membabitkan profesion seorang doktor yang pernah dihadapi oleh ahli keluarga saya sebelum ini, namun maklum balas pihak kesihatan negeri adalah semua doktor perlu melalui situasi berkenaan,” katanya.

Semalam satu portal berita melaporkan Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan seorang doktor pelatih dari HPP ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari bangunan dan kes disiasat sebagai mati mengejut.

Pada penghujung tahun 2020, seorang doktor pelatih lelaki yang bertugas di HPP ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Bukitt Jambul, dipercayai akibat membunuh diri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )