Jurukamera Al Jazeera terbunuh dalam serangan Israel di Gaza

Jurukamera Al Jazeera terbunuh dalam serangan Israel di Gaza

SEMENANJUNG GAZA: Jurukamera Al Jazeera Samer Abu Daqqa yang cedera akibat serangan Israel di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza meninggal dunia kelmarin. Samer cedera akibat terkena serpihan peluru dalam serangan Israel berhampiran Sekolah Ferkhane, lapor Agensi Anadolu memetik Al Jazeera.

Ketika kejadian mangsa yang mengalami pendarahan mencari perlindungan berhampiran Sekolah Ferkhane, malangnya ambulans tidak dibenarkan masuk kerana tempat itu dikepung oleh tentera Israel selama beberapa jam.

Tiga petugas pertahanan awam yang cuba membantu Samer serta penduduk lain yang cedera dan terperangkap di sekolah itu turut maut, menurut maklumat daripada sumber tempatan.

Gambar-gambar Samer yang sempat dirakamnya berhampiran Sekolah Ferkhane tular di media sosial.

Beliau sempat mendoakan untuk kesihatan dan kesejahteraan semua rakan media.

Wartawan Al Jazeera, Wael ed-Dahduh, turut cedera semasa serangan tentera Israel berhampiran Sekolah Ferkhane yang menjadi tempat perlindungan penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal di Khan Yunis.

Wael yang cedera di tangan, lengan, bahu dan perut dibawa ke Hospital Al-Nasr di Khan Yunis manakala sekolah tempat Samer mencari perlindungan dan kawasan sekitar sekolah itu dikepung oleh tentera Israel.

Pihak tentera Israel tidak memberikan respons segera kepada permintaan AFP untuk komen lanjut.

Pengarah urusan Al Jazeera Mohamed Moawad memberikan penghormatan kepada Samer menerusi X, menyatakan: “Komitmen beliau yang tidak berbelah bahagi dalam kebenaran dan penceritaan telah memberikan tanda yang kekal pada pasukan kami.

“Samer, yang kameranya merakamkan realiti kehidupan yang asli dan tanpa tapisan di Gaza, bukan sekadar seorang profesional berkemahiran namun satu jiwa yang prihatin memahami tentang kuasa di sebalik penceritaan visual.

“Dalam mencari kebenaran, jurukamera kami berdepan risiko besar untuk memberikan kepada penonton satu pemahaman yang lebih mendalam tentang pengalaman manusia di Gaza.” Pertubuhan Media Asing menggesa tentera Israel menyiasat kejadian itu.

“Kami menganggap ini satu pukulan yang kuat terhadap kebebasan terhad untuk media di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hamas, serangan pertama telah menyasarkan sebuah sekolah milik agensi Amerika Syarikat (AS) bagi pelarian Palestin di Khan Yunis, di mana wartawan tersebut cuba berlindung di sana.

Serangan kedua kemudian secara sengaja menyasarkan wartawan, kata Hamas.

“Ia merupakan satu cubaan untuk menakut-nakutkan wartawan supaya tidak merakamkan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Semenanjung Gaza,” tambah Hamas. Al Jazeera berkata ia menganggap “Israel bertanggungjawab kerana menyasarkan secara sistematik dan membunuh wartawan serta anggota keluarga mereka.”

Jurucakap bagi Majlis Keselamatan Negara AS John Kirby memberitahu taklimat media “kami masih tidak mempunyai petunjuk” bahawa Israel secara “sengaja memburu wartawan yang cuba membuat liputan mengenai peperangan ini”.

Pada Oktober lepas, rakaman penuh emosi menunjukkan Wael mengetahui menerusi rakaman kameranya bahawa isteri dan dua anaknya terkorban dalam serangan Israel ke atas kem pelarian Nuseirat di Semenanjung Gaza.

Lebih 50 wartawan dan kakitangan media telah terbunuh sejak pertempuran meletus antara Israel dan Hamas pada 7 Oktober, kata Jawatankuasa bagi Melindungi Wartawan.

— Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )