Keadaan darurat tatkala hujan lebat landa wilayah selatan, tengah Chile

Keadaan darurat tatkala hujan lebat landa wilayah selatan, tengah Chile

SANTIAGO: Hujan lebat melanda selatan dan tengah Chile kelmarin, membunuh seorang penduduk dan merosakkan ratusan rumah ketika pihak berkuasa mengisytiharkan keadaan darurat di lima wilayah di negara Amerika Selatan itu.

Seorang maut di bandar selatan Linares apabila tiang lampu jalan tumbang selepas hujan selama beberapa jam dan angin kuat, menurut perkhidmatan respons bencana Senapred.

Perkhidmatan cuaca di Chile telah mengeluarkan paras amaran paling tinggi, meliputi kira-kira 14 juta daripada 20 juta penduduk di enam daripada 16 wilayah di negara itu, namun ia kemudian ditarik balik ketika pihak berkuasa mengatakan 80 peratus daripada ribut telah berlalu, dan sedang menuju ke negara jiran Argentina.

Sebelum ketibaan air bah, wilayah tengah Chile telah berdepan dengan kemarau teruk selama 15 tahun.

“Kami memerlukan beberapa bot untuk mengeluarkan orang ramai,” seorang penduduk di salah sebuah pekan yang terjejas, Curanilahue, memberitahu televisyen negeri.

Curanilahue, kira-kira 600 kilometer (372 batu) selatan ibu negeri Santiago, paling terjejas apabila sungai Curanilahue dan Las Ranas melimpah selepas kawasan itu menerima 350 milimeter air hujan dalam masa hanya beberapa jam – lebih banyak daripada tahun lepas secara keseluruhan.

Kira-kira 2,000 rumah di kawasan itu rosak.

Presiden Gabriel Boric, dalam mesej dari Sweden di mana beliau sedang melakukan lawatan rasmi memberi amaran bahawa hujan akan “berterusan dengan lebih lebat” dan mengumumkan kematian pertama.

Menteri Dalam Negeri Carolina Toha, sebelum menaiki pesawat untuk melawat kawasan terjejas, berkata keadaan darurat telah diumumkan di lima wilayah bagi mempercepatkan pengerahan sumber.

Senapred berkata hujan lebat telah menjejaskan lebih 3,300 orang, berkurangan daripada anggaran awal seramai 4,300.

Di ibu negeri Santiago, yang turut mengalami hujan lebat, sekolah ditutup dan pihak berkuasa menasihatkan orang ramai untuk mengehadkan perjalanan.

Di bandar Vina del Mar, pakar berusaha untuk menyelamatkan sebuah bangunan 12 tingkat yang berisiko untuk runtuh selepas hujan lebat menyebabkan lubang besar di bawahnya.

— Agensi

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )