Kegagalan Aplikasi MySaman Menyebabkan Orang Ramai Terpaksa Beratur Panjang

Kegagalan Aplikasi MySaman Menyebabkan Orang Ramai Terpaksa Beratur Panjang

PUTRAJAYA 10 DIS – Hari ini hari kedua tawaran diskaun potongan kompaun dan saman oleh pihak PDRM bersempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang bermula semalam dari 9 Disember tamat hingga 12 Disember ahad ini menyebabkan orang ramai mengambil peluang untuk membayar saman.

Sejak semalam orang ramai cuba untuk membayar saman menggunakan sistem aplikasi online MySaman yang diperkenalkan oleh pihak PDRM namun banyak rungutan yang diluahkan netizen di media sosial akan kesukaran dan kegagalan menggunakan aplikasi online tersebut bagi membayar saman menyebabkan orang ramai mengambil keputusan hadir sendiri ke Balai Polis Trafik berdekatan menyebabkan berlakunya kesesakan luar jangka.

Wartawan Gerbangpost.com meninjau sendiri suasana di lapangan pada sebelah pagi tadi di Ibupejabat Polis Daerah Putrajaya dan mendapati orang ramai beratur panjang hingga ke pintu masuk IPD Putrajaya. Hasil temuramah mendapati pembayar saman sudah beratur seawal sejak jam 7.00 pagi lagi dan bagi yang tiba sedikit lewat terpaksa beratur 2 jam hingga 3 jam untuk sampai ke kaunter pembayaran.

Tinjauan juga mendapati rungutan orang ramai yang agak kecewa terpaksa membuat pembayaran secara fizikal akibat kegagalan sistem aplikasi MySaman yang cuba diakses sejak semalam. Rata-rata netizen kecewa kegagalan aplikasi MySaman ini sepatutnya sudah dijangkakan serta langkah-langkah proaktif diambil bagi menambahbaik sistem aplikasi oleh pihak Kementerian Dalam Negeri dan Menterinya susulan dari pengumuman tawaran diskaun kompaun dan saman oleh Perdana Menteri Malaysia.

Meskipun berlakunya kesesakan di lokasi pembayaran kompaun dan saman di seluruh negara pihak PDRM secara professional bertugas dan mengawal situasi dengan baik sekali terutama dari segi penjagaan SOP seperti di IPD Putrajaya ini. Tambahan anggota bertugas dilakukan selaras dengan memberi perkhidmatan terbaik buat publik dan aspek keselesaan juga dititikberatkan oleh pihak PDRM.

Apa yang diharapkan oleh orang ramai agar tempoh masa tawaran kompaun saman ini dipanjangkan sedikit lagi tempohnya agar memberi peluang kepada yang gagal membuat bayaran untuk sama-sama mengambil peluang diskaun hingga 80% ini. Dalam masa yang sama pihak terlibat haruslah segera memperbaiki kelemahan sistem aplikasi MySaman ini dengan segera agar dapat berfungsi dengan baik seterusnya mengurangkan kehadiran orang ramai ke lokasi pembayaran kompaun saman ini nanti.

– Joy Reyzal

CATEGORIES
Share This