
Kelantan Perhalusi Undang-Undang Hiburan, Galak Seni yang Mendidik
PENGKALAN CHEPA – Dalam usaha mengimbangi hiburan dan nilai budaya, Kerajaan Kelantan kini giat menyemak semula peruntukan dalam Enakmen Kawalan Hiburan 1998 dengan memberi fokus kepada reformasi kandungan serta penguatkuasaan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, semakan turut meliputi penstrukturan semula kadar denda sebagai usaha memberi kesedaran dan mendidik masyarakat serta penggiat seni.
Beliau turut mengingatkan agar seni tradisional seperti dikir barat tidak disalahgunakan sebagai medium hiburan yang melampau atau lari dari landasan adab.
“Seni itu mendidik, bukan mencemar. Kita mahu ia menjadi saluran nilai murni, bukan hiburan kosong yang mengandungi kata-kata kasar atau lucah,” katanya.