Kemeriahan di Pulau Kapas, bukti strategi pelancongan domestik berjaya

Kemeriahan di Pulau Kapas, bukti strategi pelancongan domestik berjaya

MARANG,. Langkah kerajaan menggalakkan pelancongan domestik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) nyata memberi 1,001 rahmat kepada pemain industri pelancongan di Terengganu terutama di kawasan pulau peranginan.

Manakan tidak, kedatangan pelancong meningkat mendadak selepas sekian lama ‘berkurung’ di rumah dan PKPP bagaikan memberi ‘talian hayat’ untuk pemain industri pelancongan kembali ‘bernafas’ dan menjalankan perniagaan seperti biasa.


Tinjauan Bernama di Pulau Kapas baru-baru ini mendapati, rata-rata pelancong dan pengusaha chalet mengakui telah berlaku peningkatan pelancong sehingga 50 peratus berbanding cuti persekolahan biasa seperti tahun sebelumnya.

Pemilik Ombak Kapas Island Beach Resort, Hawa Abd Rahman berkata kadar tempahan bilik sangat memberangsangkan apabila tempahan untuk hujung minggu telah penuh sehingga PKPP berakhir 31 Ogos nanti.

“Kami mempunyai masa hanya empat bulan lagi untuk beroperasi sebelum Pulau Kapas ditutup kepada pelancong bermula November hingga Februari tahun hadapan berikutan musim tengkujuh.

“Ketika PKP bermula pada 18 Mac lepas, memang saya bimbang bagaimana perniagaan hendak bertahan namun kini saya agak lega kerana peningkatan jumlah pelancong ketika ini sekurang-kurangnya dapat menampung sedikit kerugian yang dialami ketika PKP lepas,” katanya yang berharap kerajaan pusat dan kerajaan negeri terus mempromosikan sektor pelancongan domestik dan inisiatif baharu secara berterusan demi kelangsungan hidup usahawan.

Keistimewaan Pulau Kapas terletak pada jaraknya yang dekat dengan tanah besar iaitu hanya 10 hingga 15 minit masa perjalanan menyebabkan ia menjadi pilihan utama pelancong berbanding pulau peranginan lain.

Selain itu, kos percutian di pulau itu juga agak rendah dan berbaloi kerana keindahan Pulau Kapas setanding dengan pulau lain dari segi kejernihan air, keindahan terumbu karang dan kepelbagaian spesies hidupan marinnya.

Bagi peniaga jus buah-buahan, Shah Fakhrul Lutffi, 25, beliau gembira dengan peningkatan mendadak pelancong ke pulau itu dan mengakui pendapatan sepanjang PKPP telah dapat menampung kerugian dialami sebelum ini.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )