KUALA LUMPUR,. Hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dijangka kekal dalam julat stabil sekitar paras semasa disokong oleh asas ekonomi domestik yang
KUALA LUMPUR,. Hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dijangka kekal dalam julat stabil sekitar paras semasa disokong oleh asas ekonomi domestik yang berdaya tahan meskipun pasaran bon global tidak menentu dan terdapat isyarat dasar monetari yang lebih ketat daripada Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).
Menurut Kenanga Investment Bank Bhd, hasil MGS dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) kebanyakannya meningkat antara 1.5 hingga 8.9 mata asas merentasi keseluruhan keluk hasil dengan hasil MGS 10 tahun naik sedikit sebanyak 2.8 mata asas kepada 3.86 peratus.
Dalam pada itu hasil GII 10 tahun meningkat 3.4 mata asas kepada 3.89 peratus.
“Bon Malaysia kekal agak kukuh walaupun berlaku tekanan jualan yang ketara dalam bon Perbendaharaan AS dengan jurang hasil di antara MGS 10 tahun dengan Perbendaharaan AS melebar kepada kira-kira negatif 128 mata asas berbanding negatif 99 mata asas minggu sebelumnya,” jelasnya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Kenanga memaklumkan asas ekonomi domestik terus menjadi faktor utama yang menyokong permintaan.
Jelasnya, ia dipacu oleh aktiviti perindustrian yang lebih kukuh dengan pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) pada September meningkat kepada 6.3 peratus tahun ke tahun daripada 5.0 peratus pada Ogos, mengatasi anggaran konsensus sebanyak 5.8 peratus.
Tambahnya, pasaran buruh juga kekal stabil manakala pelabur asing terus mencatatkan aliran masuk bersih ke dalam bon kerajaan berjumlah RM1.1 bilion pada minggu berakhir 6 November, sebelum berlakunya tekanan jualan dalam bon Perbendaharaan AS baru-baru ini.
“Walaupun perkembangan ini mencerminkan permintaan asas terhadap bon tempatan, data aliran dana seterusnya akan menjadi petunjuk penting untuk menilai minat pelabur asing susulan penilaian semula hasil bon global,” menurutnya.
Sementara itu, CIMB Investment Bank Bhd menjelaskan bon berdaulat Malaysia menyusut nilai sebanyak tiga hingga lapan mata asas sepanjang minggu dagangan yang lebih singkat berikutan cuti umum dengan segmen pertengahan keluk hasil mencatatkan prestasi lebih lemah.
“Bagaimanapun, permintaan terhadap bon bertempoh matang lebih panjang kekal berdaya tahan dengan terbitan semula GII 15 tahun menarik nisbah bidaan kepada terbitan sebanyak 2.32 kali berbanding saiz tender awam bernilai RM3.5 bilion manakala tambahan RM2 bilion lagi diperoleh melalui tawaran saham persendirian,” jelas CIMB.
CIMB menyatakan pihaknya mengunjurkan tekanan penurunan sederhana terhadap MGS dan GII dalam tempoh terdekat dengan pembukaan semula terbitan MGS tiga tahun yang bakal dilaksanakan menambah tekanan dari segi penawaran.
— BERNAMA

