Keputusan Batalkan Projek Tebatan Banjir Tidak Matang – Tuan Ibrahim

Keputusan Batalkan Projek Tebatan Banjir Tidak Matang – Tuan Ibrahim

SHAH ALAM – Keputusan kerajaan menghentikan serta-merta projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion pada 6 Disember 2022 dianggap sebagai langkah yang tidak matang dan menimbulkan banyak persoalan, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurutnya, alasan yang diberikan mengenai penjimatan RM2 bilion selepas enam projek terbabit dibatalkan adalah meragukan kerana projek berkenaan masih belum dimulakan ketika itu.

“Di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebanyak 40 projek tebatan banjir di seluruh negara telah diluluskan menerusi peruntukan luar bajet (off-budget) berjumlah RM15 bilion.

“Namun, apa yang mengejutkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mengarahkan Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi untuk mempercepatkan semula peruntukan projek tersebut, selepas beliau sendiri membatalkannya sebelum ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau turut mempertikaikan rasional di sebalik keputusan itu.

“Atas asas apa Perdana Menteri mendakwa pembatalan enam projek ini mampu menjimatkan RM2 bilion?” soalnya.

Sebelum ini, Anwar ketika berucap di hadapan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengarahkan Perbendaharaan Malaysia supaya memberi kelonggaran bagi mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir.

Tuan Ibrahim yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, ketika beliau memegang portfolio berkenaan, beliau telah memberi peringatan bahawa kelewatan dalam pelaksanaan projek tebatan banjir boleh menyebabkan kerugian lebih besar kepada negara.

“Hari ini terbukti bahawa amaran saya benar apabila negara mengalami kerugian akibat banjir pada 2023 berjumlah RM755.4 juta, iaitu bersamaan 0.04 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” ujarnya.

Tambahnya, bencana banjir yang melanda beberapa negeri seperti Sabah dan Sarawak baru-baru ini hanya menambah kesengsaraan rakyat, terutama selepas Kedah, Kelantan dan Terengganu mengalami banjir buruk pada penghujung 2024.

“Lebih mengejutkan, selepas tiga tahun, Perdana Menteri akhirnya menyedari kepentingan projek tebatan banjir yang pernah dibatalkan sebelum ini.

“Jika beliau menyedarinya lebih awal, tidak perlulah beliau menelefon Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) sehingga lewat malam seperti yang dilaporkan media hari ini,” katanya.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )