Kerajaan akan utamakan keyakinan pelabur, kata Muhyiddin
PUTRAJAYA, 16 Mac — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Putrajaya akan memberi keutamaan ke atas keyakinan pelabur, supaya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dapat dipertingkatkan.
“Saya mengambil peluang ini untuk memberitahu perniagaan dan pelabur bahawa kita faham (masalah mereka) dan kita akan melakukan sesuatu mengenainya.
“Ini merupakan sesuatu keadaan penting yang kita tidak boleh tangguhkan, itulah sebabnya mengapa kita perlukan laporan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) sebagai langkah untuk menangani perkara tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama EAC di sini hari ini.
Menurut Perdana Menteri lagi, adalah perlu bagi menjadikan ekonomi Malaysia sentiasa mampan dan bukan sekadar untuk tempoh yang singkat.
“Kita ada beberapa isu yang perlu ditangani dan kita telah diberi taklimat oleh Kementerian Kewangan serta Bank Negara Malaysia tentang apa yang perlu kita lakukan bagi menangani keadaan tersebut,” katanya.
Beliau menjelaskan kerajaan menyedari sepenuhnya tindakan dan langkah yang perlu diambil untuk menangani keadaan semasa, sambil menambah, “Bersabarlah… dan lihat apa yang boleh kita lakukan untuk membantu anda.”
— BERNAMA