Kerajaan tidak cadang laksana PKP setakat ini – Muhyiddin

Kerajaan tidak cadang laksana PKP setakat ini – Muhyiddin

KUALA LUMPUR,. Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara seperti sebelum ini, sebaliknya menggunakan kaedah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu (PKP) jika dilaksanakan sekali lagi boleh membawa kesan besar yang dikhuatiri akan meruntuhkan sistem sosial dan ekonomi negara.

“Apa yang akan dilakukan oleh kerajaan ialah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Bersasar di kawasan-kawasan yang dikenal pasti mempunyai kes-kes COVID-19 yang tinggi.

“Dengan ini aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan-kawasan lain yang tidak terjejas, boleh diteruskan dengan amalan SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas mengenai situasi semasa COVID-19 dari kediamannya, yang disiarkan secara langsung di beberapa stesen televisyen tempatan dan laman sosial Facebook hari ini.

Muhyiddin berkata beliau percaya kesiapsiagaan sistem kesihatan, akan membolehkan negara menangani penularan COVID-19 tanpa perlu menutup sektor-sektor ekonomi yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Setakat ini, proses pemulihan ekonomi berjalan dengan lancar. Apa jua keputusan yang diiambil, perlu mengambil kira kepentingan 15 juta rakyat kita yang keluar bekerja. Ini penting bagi menjamin kelangsungan hidup rakyat dan kestabilan ekonomi negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata sistem kesihatan negara lebih bersedia pada masa ini untuk menangani penularan wabak COVID-19 di dalam komuniti, berbanding pada masa lalu.

Katanya, beliau dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa kelengkapan ventilator, peralatan perlindungan diri (PPE) dan ubat-ubatan adalah mencukupi.

Muhyiddin berkata jumlah katil di hospital-hospital yang dikhususkan untuk merawat pesakit COVID-19 juga mencukupi, dengan kapasiti penggunaan pada masa ini sekitar 29 peratus.

“Kita kini lebih bersedia daripada sebelum ini dalam pengalaman dan tenaga kerja. Kita kini tahu mengenai virus itu dengan lebih baik, dan kita mempunyai kelengkapan dan peralatan yang mencukupi.

“Tetapi kita perlu memutuskan rantaian virus itu dan cara terbaik ialah untuk duduk di rumah, terutamanya di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar. Kita perlu melandaikan lengkungan. Kita telah lakukannya sebelum ini dan saya benar-benar percaya, kita boleh lakukannya lagi,” katanya.

Perdana Menteri juga menyeru rakyat yang masih belum mendaftar aplikasi MySejahtera, supaya segera berbuat demikian bagi memudahkan usaha mengesan kontak rapat pesakit COVID-19.

Menurutnya, 17 juta penduduk Malaysia telah menggunakan aplikasi berkenaan pada masa ini.

“Jika dikira jumlah pengguna aplikasi ini beserta tanggungan atau pasangan mereka, peratusan rakyat yang menggunakan aplikasi MySejahtera dianggarkan telah melebihi 60 peratus,” katanya sambil ia menambah ia merupakan satu perkembangan positif dalam usaha menghadapi pandemik berkenaan.

Muhyiddin turut melahirkan keyakinan peningkatan kes-kes harian COVID-19 yang membimbangkan ketika ini, akan dapat dilandaikan semula dengan kerjasama semua pihak.

“Marilah kita hadapi perang menentang COVID-19 secara bersama. Ingat, kita pernah berjaya melandaikan lengkung jangkitan COVID-19 sebelum ini. Saya yakin dan percaya kita akan dapat bersama-sama melandaikannya sekali lagi. Insya-Allah, kita doakan mudah-mudahan kita semua akan menang akhirnya,” katanya.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This