Kes denggi di Negeri Sembilan meningkat 18.9 peratus

Kes denggi di Negeri Sembilan meningkat 18.9 peratus

SEREMBAN, 20 Jun — Jumlah kumulatif kes denggi di Negeri Sembilan merekodkan peningkatan sebanyak 18.9 peratus iaitu 1,358 kes bagi tempoh Januari hingga 13 Jun berbanding 1,142 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata pada minggu ke-24 iaitu dari 7 Jun hingga 13 Jun, sebanyak 77 kes direkodkan.

“Taburan kumulatif kes denggi di Negeri Sembilan pada tahun ini ialah sebanyak 1,139 kes di daerah Seremban, 52 kes di Port Dickson, 51 kes di Rembau, 41 kes di Tampin, 39 kes di Jempol, 19 kes di Kuala Pilah dan 17 kes di Jelebu.

“Satu kes kematian denggi dilaporkan di Negeri Sembilan, menjadikan kumulatif kematian akibat denggi ialah sebanyak lima kes sehingga 13 Jun iaitu kadar kematian kes sebanyak 0.5 peratus berbanding enam kes dengan kadar kematian kes sebanyak 0.6 peratus pada tempoh yang sama pada 2019,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kumulatif lokaliti wabak yang masih aktif ialah sebanyak 27 lokaliti iaitu 26 daripadanya adalah di daerah Seremban dan satu di Jempol.

“Aktiviti pencegahan dan kawalan diteruskan pada masa ini walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan bermula pada 10 Jun, dengan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan aedes ditumpukan di premis kediaman dan kawasan persekitaran, aktiviti larviciding, semburan pengasapan dan promosi kesihatan.

“Masyarakat digalakkan untuk melaksanakan pembersihan di kawasan premis masing-masing selama 10 minit setiap minggu dengan menghapuskan tempat-tempat atau bekas-bekas yang berpotensi bagi pembiakan nyamuk aedes sekali gus dapat mengekang penularan demam denggi,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )