
Kestabilan RTG Jadi Keutamaan, Norza Kini Timbalan Pengerusi
BANGI, 25 Mac – Penstrukturan kepimpinan baharu program Road to Gold (RTG) menyaksikan peranan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berubah daripada Pengerusi Bersama kepada Timbalan Pengerusi, dalam usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memastikan program itu bebas daripada risiko politik.
Hannah Yeoh, kini memegang jawatan Pengerusi RTG secara tunggal, berkata penyesuaian ini dilakukan bagi menjamin program tidak terjejas sekiranya berlaku ketidaktentuan dalam pentadbiran kerajaan.
“Kalau berlaku krisis politik dan tiada menteri, Norza boleh teruskan peranan dan pastikan RTG berjalan lancar,” katanya semasa Majlis Aspirasi YAKEB di sini hari ini.
RTG merupakan program nasional yang memberi tumpuan kepada persediaan atlet negara dalam misi meraih pingat emas sulung di Olimpik.
Dalam perkembangan sama, KBS turut memperkenalkan dua ahli baharu jawatankuasa RTG iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz, dan bekas Setiausaha Agung Persatuan Renang Malaysia, Mae Chen.
Pelantikan mereka telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah MSN minggu lalu dan akan berkuat kuasa sepanjang penggal 2025–2026.