BATU PAHAT, 27 Jun – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) terus menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga veteran apabila Ketua Penga
BATU PAHAT, 27 Jun – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) terus menzahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan warga veteran apabila Ketua Pengarahnya, Erwin Khairul Ahmad, mengadakan Lawatan Kasih ke kediaman pesara JAPEN, Abdul Razak Mohammed, di sini hari ini.
Lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif JAPEN dalam menghargai bekas pegawai yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan jabatan serta melahirkan generasi pelapis dalam bidang penyampaian maklumat kepada rakyat.
Abdul Razak berkhidmat selama 37 tahun bersama JAPEN bermula pada 1982 sebelum menamatkan perkhidmatannya pada tahun 2019 sebagai Pegawai Penerangan Daerah (PPD) Kluang.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau pernah bertugas di Ibu Pejabat JAPEN Johor serta beberapa daerah termasuk Kulai, Kota Tinggi, Batu Pahat dan Kluang, selain pernah berkhidmat di Terengganu.
Beliau juga dikenali sebagai seorang penceramah jabatan yang disegani serta memiliki keistimewaan menyampaikan pantun secara spontan ketika mengendalikan ceramah, menjadikan beliau antara tokoh komunikasi yang dihormati dalam kalangan warga JAPEN.
Erwin berkata, Abdul Razak bukan sekadar bekas rakan sekerja, malah merupakan individu yang banyak membimbing beliau, khususnya dalam aspek pengucapan awam.
“Beliau adalah salah seorang guru dan mentor saya di Jabatan Penerangan. Banyak ilmu dan pengalaman yang saya timba daripada beliau, khususnya dalam pengucapan awam,” katanya.
Menurut beliau, lawatan tersebut turut menjadi tanda penghargaan terhadap segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan Abdul Razak sepanjang berkhidmat bersama JAPEN.
Walaupun kini berdepan masalah kesihatan selepas diserang angin ahmar, Abdul Razak masih memiliki daya ingatan yang baik serta mampu mengimbau pelbagai pengalaman sepanjang perkhidmatannya.
Malah, beliau turut menunjukkan kehebatan berpantun secara spontan, sekali gus membuktikan minat dan bakatnya dalam seni penyampaian komunikasi masih kekal utuh.
JAPEN berkata, Lawatan Kasih itu bukan sekadar kunjungan biasa, sebaliknya melambangkan komitmen jabatan dalam menghargai sumbangan warga veteran yang telah meletakkan asas kukuh kepada organisasi.
Inisiatif tersebut juga mencerminkan nilai kepimpinan JAPEN yang sentiasa menghargai jasa generasi terdahulu serta memastikan legasi ilmu, pengalaman dan semangat mereka terus diwarisi oleh warga jabatan bagi memperkukuh peranan JAPEN sebagai agensi penyampaian maklumat kepada rakyat.
– ANT (Disunting daripada kenyataan media Jabatan Penerangan Malaysia)

