
Keuntungan bersih AEON Credit Service susut kepada RM99.36 juta
KUALA LUMPUR,. Keuntungan bersih Aeon Credit Service (M) Bhd bagi suku pertama berakhir 31 Mei 2023 susut kepada RM99.36 juta berbanding RM163.07 juta yang disaksikan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Perolehan bagaimanapun, menokok sebanyak 15.9 peratus kepada RM452.67 juta daripada RM390.57 juta disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan yang lebih kukuh, kata perkhidmatan kewangan pengguna itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.
Keuntungan sebelum cukai untuk suku semasa bagaimanapun, 38.8 peratus lebih rendah kepada RM131.914 juta berbanding suku yang sama tahun lepas berikutan kerugian rosot nilai yang lebih tinggi ke atas penghutang pembiayaan.
Aeon Credit Service kekal berhati-hati terhadap unjuran tahun ini berdasarkan kepada cabaran ekonomi sekarang disamping kadar dasar yang agak ketat bagi membendung tekanan inflasi dan turun naik dalam industri perbankan global serta pasaran kewangan.
Namun begitu, syarikat itu akan terus memantau dengan teliti kualiti asetnya termasuk membuat penilaian ke atas risiko kredit yang wujud dalam portfolio pembiayaannya, mengamalkan pengurusan kos berhemat dan menambah baik kecekapan kewangan serta operasi dengan memanfaatkan asas perniagaannya yang positif.
Katanya, untuk mengukuhkan kemampanan perniagaan jangka panjangnya, syarikat itu akan terus meningkatkan keupayaan teknologi maklumat bagi menyokong pertumbuhan masa depannya.
Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka, Aeon Credit Service menjangka ianya dapat mengekalkan prestasi kewangan melalui langkah-langkah yang sesuai untuk tahun kewangan berakhir 29 Februari 2024.
Ia menambah bahawa tiada dividen dibayar semasa suku di bawah semakan. – BERNAMA