PARIT BUNTAR,. Pembangunan Kerian Industrial City (KIC) seluas 287 ekar dengan nilai pembangunan sekitar RM700 juta, dijangka mewujudkan hampir 12,000
PARIT BUNTAR,. Pembangunan Kerian Industrial City (KIC) seluas 287 ekar dengan nilai pembangunan sekitar RM700 juta, dijangka mewujudkan hampir 12,000 peluang pekerjaan, sekali gus memperkukuh kedudukan Kerian sebagai hab industri baharu di Perak.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pembangunan itu bukan sahaja bertujuan menarik pelaburan baharu, malah membuka ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), vendor serta industri sokongan menerusi pertumbuhan aktiviti perindustrian di daerah berkenaan.
“Kedudukan Kerian yang berhampiran dengan pusat perindustrian baru Batu Kawan di Pulau Pinang dan Kulim Hi-Tech Park di Kedah, memberi kelebihan kepada KIC untuk memanfaatkan perkembangan rantaian bekalan dan aktiviti pembuatan di wilayah utara Semenanjung.
“Pada masa yang sama, pembangunan KIC bersama dengan KIGIP (Kerian Integrated Green Industrial Park), akan saling melengkapi dalam membentuk ekosistem perindustrian yang lebih kukuh serta meningkatkan daya tarikan Kerian kepada pelabur,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Pecah Tanah KIC di Wilayah Dennistown, Mukim Parit Buntar di sini hari ini.
Beliau berkata Perak perlu melihat Pulau Pinang dan Kedah sebagai rakan perkongsian strategik, bukannya pesaing, bagi mengelakkan persaingan tidak sihat serta membolehkan ketiga-tiga negeri saling melengkapi melalui perkongsian pengalaman dan pengetahuan.
Bagaimanapun, Saarani berkata pembangunan kedua-dua kawasan perindustrian itu perlu disokong kemudahan infrastruktur dan utiliti mencukupi, khususnya bekalan elektrik yang stabil bagi memenuhi keperluan pertumbuhan industri.
Beliau berkata perkara itu termasuk keperluan pembangunan Pencawang Masuk Utama (PMU) baharu bagi menyokong pertumbuhan industri di kawasan berkenaan.
“Saya sangat menyambut baik perbincangan yang telah diadakan antara SD Guthrie, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan InvestPerak berhubung cadangan pembangunan PMU tersebut, termasuk penyelarasan laluan rentis yang melibatkan kawasan KIGIP,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata pembangunan projek itu, akan melibatkan empat fasa selain mengambil masa selama 10 tahun untuk disiapkan, selain projek berkenaan akan memberi tumpuan kepada sektor perindustrian sasaran seperti semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).
Beliau berkata selain itu, KIC turut menyediakan ruang bagi industri sokongan lain seperti perkhidmatan pengujian, penentukuran, serta sektor kejuruteraan bagi menyokong keperluan pengilang berteknologi tinggi.
“Pembangunan itu bukan sahaja menarik pelaburan, tetapi turut menyediakan peluang pekerjaan berkualiti kepada anak tempatan, meningkatkan pendapatan dan merancakkan kegiatan ekonomi masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata KIC juga perlu disokong kerjasama antara pemain industri, institusi pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), bagi memastikan tenaga kerja tempatan mempunyai kemahiran yang memenuhi keperluan industri.
— BERNAMA

