KKR membuka Bilik Gerakan Bencana menghadapi ‘Monsun Timur Laut’

KKR membuka Bilik Gerakan Bencana menghadapi ‘Monsun Timur Laut’

KUALA LUMPUR, 8 Disember – Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menggerakkan Bilik Gerakan Bencana (BigBen) bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam yang disebabkan oleh Monsun Timur Laut (MTL) 2022 / 2023 yang melanda negara pada ketika ini dan dijangka berlarutan sehingga Mac 2023.

BigBen, yang merupakan inisiatif Jabatan Kerja Raya (JKR), salah satu agensi di bawah KKR ini berfungsi sebagai ’one stop centre’ bagi pengurusan maklumat kejadian bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak/runtuh, yang melibatkan jalan dibawah seliaan JKR iaitu Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di seluruh Malaysia, di samping memberikan maklumat terkini jalan-jalan alternatif yang boleh
digunakan oleh pengguna jalan raya.

Dalam tinjauan ke BigBen di sini yang dilakukan oleh Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi semalam, beliau berkata BigBen ini diharap dapat menjadi sumber rujukan kepada semua pihak, termasuk agensi Kerajaan, badan bukan Kerajaan dan masyarakat bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan bencana alam di kawasan terjejas.”

Maklumat yang cepat dan tepat melalui BigBen ini bukan sahaja dapat membantu memberikan maklumat yang tepat kepada masyarakat tetapi juga kepada pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan bencana,” katanya.
Tinjauan ke pusat BigBen turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir.

Dato Sri Alexander berkata, KKR telah mengambil langkah-langkah kesiagaan dalam menghadapi MTL kali ini yang meliputi usaha mengenalpasti lokasi laluan yang kerap berlaku bencana, menjalankan pemeriksaan jalan, cerun, longkang dan pembentung dari masa ke semasa, memasang pancang-pancang kayu penunjuk aras banjir di jalan-jalan yang kerap berlaku banjir, mempersiapkan 2580 pelbagai jentera diseluruh Semenanjung Malaysia yang diperlukan bagi kerja-kerja kecemasan untuk digunakan ketika berlakunya bencana dan menyediakan laluan alternatif / papan tanda lencongan bagi jalan yang terputus hubungan.

KKR turut bersiap siaga menggerakkan aset Jambatan Panel Keluli Bermodular (‘Bailey Bridge’), yang merupakan jambatan sementera yang boleh dipasang siap dalam tempoh minimun 36 jam sebagai laluan alternatif bagi menghubungkan kawasan yang terputus akibat bencana.

Jambatan ini merupakan antara aset penting di KKR yang terbukti berkesan dalam usaha kementerian mengambil tindakan pantas dalam berhadapan dengan situasi bencana alam.

Keberkesanan aset ini dapat dilihat melalui rekod pembinaan jambatan Bailey di Hulu Langat ketika kawasan itu terputus hubungan akibat banjir pada tahun lalu yang mana pembinaannya mengambil masa kurang daripada 24 jam.

Pada ketika ini, JKR mempunyai 2180 kaki Jambatan Panel Keluli Bermodular yang disimpan di tujuh (7) stor penyimpanan di seluruh Semenanjung Malaysia meliputi zon utara, selatan, timur dan tengah iaitu di Petaling (Selangor), Temerloh (Pahang), Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Kinta (Perak), Johor Bahru (Johor), Alor Star (Kedah) dan di Machang (Kelantan).

“Dalam berhadapan dengan musim banjir yang melanda negara ketika ini, KKR sentiasa bersiap sedia dan menggandakan gerak kerja sebagai persediaan menghadapi pelbagai kemungkinan. KKR juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi melancarkan lagi usaha pelan mitigasi banjir dan bencana alam yang lain,” katanya.

Maklumat status kejadian bencana jalan raya boleh diperolehi di portal bencana Jabatan Kerja Raya di alamat: www.bencanaalam.jkr.gov.my dan melalui laman twitter di @JKRMalaysia, @CSFJ_JKR dan facebook Jabatan Kerja Raya Malaysia atau boleh menghubungi pada talian 03-26107727.

Kementerian Kerja Raya (KKR) menasihatkan agar semua pengguna jalan raya supaya berhati-hati semasa melalui jalan raya pada musim MTL ini dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa serta papan tanda amaran yang telah dipasang oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Para pemandu turut diminta agar berwaspada sewaktu melalui kawasan yang bercerun.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )