Kompleks Air Panas Gadek dinaik taraf guna konsep spa resort

Kompleks Air Panas Gadek dinaik taraf guna konsep spa resort

ALOR GAJAH: Kompleks Air Panas Gadek sedang dinaik taraf menggunakan konsep ‘Wellness and Spa Resort’ membabitkan kos RM17.9 juta dan dijangka siap pada Ogos tahun ini, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata kerja-kerja naik taraf kompleks di tapak berkeluasan 4.05 hektar yang mula dilaksanakan pada Ogos 2021 itu merangkumi antaranya 20 bilik hotel, lapan chalet, satu spa keluarga, dua kolam air panas rendaman kaki serta fasiliti lain seperti surau, tandas dan bilik persalinan.

Katanya, setakat ini kerja-kerja menaik taraf kompleks itu mencapai 62 peratus, awal satu peratus daripada jadual asal projek itu.

“Projek naik taraf kompleks ini diluluskan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11, Rolling Plan Keempat sebelum ini iaitu sekitar tahun 2020. “Bangunan ini perlu dinaik taraf kerana ia merupakan salah satu khazanah negara dan ikon pelancongan negeri yang tersenarai dalam 138 tarikan utama di Melaka,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak Kompleks Air Panas Gadek di sini pada Isnin.

Turut hadir Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek VP Shanmugam.

Sulaiman berkata Kompleks Air Panas Gadek merupakan produk pelancongan berasaskan kesihatan menerusi mandian air panas semula jadi di kawasan itu yang mengandungi sulfur dan baik untuk kesihatan.

Beliau berkata kerja-kerja menaik taraf kompleks itu bertujuan memberi keselesaan dan pengalaman lebih baik kepada pengunjung dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dengan sasaran 360,000 pengunjung setahun setelah projek tersebut siap.

“Kompleks Air Panas Gadek ini juga akan menjadi tarikan baharu kepada pelancong dalam dan luar negara seperti dari Jerman, China, dan Taiwan sempena Tahun Melawat Melaka 2024,” katanya.
Katanya projek itu juga akan menawarkan 70 peluang pekerjaan baharu dan mewujudkan peluang perniagaan kepada penduduk setempat.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)