
Komuniti perniagaan Malaysia digesa teroka peluang dalam projek Kaherah Baharu, Sczone
KUALA LUMPUR,. Komuniti perniagaan Malaysia digesa untuk memanfaatkan peluang yang ada menerusi projek pembangunan New Cairo (Kaherah Baharu) dan Zon Ekonomi Terusan Suez (SCZONE).
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata negara di Afrika utara itu menawarkan pelbagai perniagaan yang berpotensi, ia juga bertepatan dengan usaha untuk mengaktifkan semula Majlis Perniagaan Malaysia-Mesir.
“Mesir menawarkan banyak peluang perniagaan. Kami akan terus menggalakkan komuniti perniagaan dan sektor swasta di kedua-dua negara untuk meneroka semua peluang itu,” katanya pada sidang media bersama rakan sejawatannya dari Mesir Sameh Hassan Shoukry selepas mengadakan mesyuarat dua hala di sini hari ini.
Mesir menyifatkan dua projek mega itu sebagai antara mercu tanda hebat pembangunan ekonomi Mesir dalam sejarah moden.
Pembangunan Kaherah Baharu dikatakan mempunyai potensi besar untuk syarikat Malaysia dalam sektor seperti pembinaan, teknologi termaju, taman perniagaan, bandar pintar dan tenaga boleh baharu.
SCZONE pula menawarkan peluang pelaburan yang besar, memandangkan ia mempunyai keluasan keseluruhan 461 kilometer persegi, termasuk empat zon perindustrian dan enam pelabuhan laut, dengan jumlah pelaburan sekitar US$18 bilion dan bakal mewujudkan kira-kira 100,000 pekerjaan.
Sementara itu, Sameh Hassan, yang dalam rangka lawatan sulung tiga hari ke Malaysia mulai Isnin, turut mempelawa komuniti perniagaan Malaysia untuk meneroka potensi dan mengambil kesempatan dalam dua projek mega itu.
Saifuddin berkata pendidikan sentiasa menjadi komponen penting dalam hubungan Malaysia-Mesir, menyaksikan Mesir terus menjadi destinasi popular kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran, terutamanya dalam pengajian Islam, perubatan dan pergigian.
Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan Mesir kerana menawarkan 60 biasiswa untuk pelajar Malaysia.
Menurutnya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia juga dijadual menjalankan misi perdagangan ke Mesir dalam masa terdekat.
Mesir ialah rakan dagang terbesar Malaysia di Afrika utara. Pada 2021, jumlah dagangan bernilai RM3.8 bilion (US$904.1 juta), peningkatan ketara sebanyak 84.5 peratus, berbanding nilai direkodkan pada 2020.
Pada 2021, eksport minyak sawit Malaysia ke Mesir bernilai RM1.58 bilion, peningkatan ketara sebanyak 103 peratus berbanding RM777.9 juta yang dicatatkan pada 2020.
— BERNAMA