Kongres Nasional PKR jadi tumpuan, medan selesai ‘kemelut’

Kongres Nasional PKR jadi tumpuan, medan selesai ‘kemelut’

KUALA LUMPUR,. Kongres Nasional PKR 2019, bermula esok di Melaka bakal menjadi tumpuan umum khususnya pemerhati politik, yang ingin melihat parti berbilang kaum terbesar negara ini menyelesaikan ‘kemelut’, lantas bergerak ke hadapan menjayakan agenda reformasi dalam Malaysia Baharu.

Kurang 24 jam kongres kali ke-14 itu bermula, muncul bibit-bibit perdamaian, sekali gus membawa khabar gembira kepada anggota ke arah penyatuan dan muafakat parti itu.

Biarpun sebelum ini seolah-olah wujud ‘kemelut’ dalam parti itu, pemimpin parti dominan kerajaan itu nampaknya memilih untuk mengetepikan agenda peribadi demi terus mendukung agenda reformasi negara.

Kenyataan terbaru Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil malam ini menyatakan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan merasmikan persidangan kedua-dua sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) esok.

Perkembangan terkini yang menyaksikan resolusi Biro Politik yang bermesyuarat malam ini ‘kembali kepada tradisi parti’ itu menamatkan konflik yang timbul sebelum ini, apabila Mohamed Azmin dijadual merasmikan sayap Wanita manakala perasmian AMK oleh Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Ahmad Fahmi berkata majlis penutup kedua-dua sayap itu kini akan disempurnakan oleh Dr Wan Azizah pada Jumaat.

Kongres kali ini juga akan mendengar Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan dasar, pertama kali sebagai Presiden setelah dipilih tanpa bertanding jawatan berkenaan pada pemilihan tahun lepas.

Beliau dijadual menyampaikan ucapan dasar pada Sabtu, sekali gus merasmikan kongres tahunan parti dominan kerajaan Pakatan Harapan, yang akan dihadiri hampir 3,000 perwakilan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Anwar, seorang pejuang gerakan reformasi negara, ‘pulang’ ke pangkuan parti yang diasaskannya sejak 1999 di Shah Alam apabila menyampaikan ucapan penangguhan sebagai presiden baharu PKR tahun lepas.

Susulan pertemuan dengan Mohamed Azmin malam ini, Anwar turut mengemas kini laman Facebooknya dengan catatan: “Insyaallah Keadilan akan bertambah kukuh dan kuat hasil daripada perbincangan tadi bersama Timbalan Presiden. Dan keutuhan ini akan ditonjol di kongres pada 6, 7 dan 8 haribulan ini.”

Ketua Penerangan Wanita Pusat, Syarul Ema Rena Abu Samah ketika dihubungi Bernama sebelum ini mengesahkan kehadiran Mohamed Azmin untuk merasmikan kongres sayap Wanita yang antara lain memberi tumpuan lebih holistik terhadap kepimpinan wanita serta wanita sebagai pemacu dalam ekonomi negara.

Melihat pekembangan mutakhir PKR, kongres nasional ke-14 itu diharap menjadi noktah kepada segala ‘pergeseran’ yang dikatakan melanda pemimpin utama parti iaitu Anwar dan Mohamed Azmin sehingga mencetuskan ketegangan dalam kalangan penyokong dua pemimpin itu.

Anggota parti khususnya peringkat akar umbi pastinya mengharapkan pentas Kongres Nasional PKR 2019 menjadi medan penyelesaian permasalahan yang timbul, lantas mencapai resolusi yang mengukuhkan parti sebagai tunjang kerajaan PH dan memantapkan pentadbiran negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)