
Konvensyen Nasional Sistem Integriti Korporat 2024
KUALA LUMPUR Bertempat dipusat dagangan dunia (PWTC),Berlansunya Konvensyen Nasional Sistem Integriti Korporat (KNSIK) 2024 yang julung-julung kali dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM).
“Kelestarian Integriti Merealisasi Aspirasi Negara” amat signifikan dan selari dengan usaha Kerajaan untuk mengekalkan momentum pertumbuhan negara kepada yang lebih baik pada masa hadapan.
Ini juga selaras dengan keyakinan YAB Perdana Menteri menerusi ucapan Belanjawan Madani Ketiga Tahun 2025 pada 18 Oktober 2024 yang lalu, yang mana ekonomi negara pada tahun 2025 akan lebih berkembang kukuh antara 4.5 hingga 5.5 peratus.
Namun, untuk mencapai hasrat tersebut, gandingan elemen integriti serta tatakelola yang mantap antara sektor awam dan swasta perlu menjadi teras utama. Kepincangan yang berpunca daripada pelanggaran tadbir urus dan ketidakpatuhan terhadap undang-undang serta peraturan sedia ada termasuk rasuah di salah satu sektor akan mengundang kepada pelbagai isu permasalahan seperti ketirisan dan pembaziran wang rakyat. Hal ini sudah tentu suatu yang amat merugikan.
Pada tahun 2017 misalnya, Transparency International Malaysia (TI-M) menganggarkan kerugian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia adalah sebanyak RM47 bilion akibat rasuah.
Namun malangnya, jumlah ini terus meningkat dengan sangat ketara antara tahun 2019 dan 2023, Dalam tempoh empat tahun tersebut kegiatan rasuah di Malaysia telah menyebabkan kerugian luar biasa sehingga mencecah RM277 bilion dalam nilai keluaran ekonomi, yang mana jumlah tersebut boleh memberi manfaat kepada pembangunan negara sekiranya diguna serta diurus dengan berhemah.
Sementara itu, laporan Global Financial Integrity (GFI) turut menunjukkan sebahagian besar aliran wang haram yang terkait dengan perdagangan melibatkan amalan rasuah telah menyebabkan kerugian berjumlah hampir RM1 trilion (USD279 bilion) dari tahun 2009 hingga 2018.
Rasuah yang berleluasa boleh mengundang pelbagai persepsi dan implikasi dalam kalangan masyarakat, Jika tidak dibendung, daya saing yang sihat dalam komuniti perniagaan akan gagal dicapai menyebabkan pertumbuhan ekonomi terencat, keyakinan pelabur asing menurun, mata wang tempatan lemah dan kuasa beli juga semakin mengecil sehingga akhirnya membawa kepada peningkatan kadar kegiatan jenayah.
Berdasarkan statistik daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun ini, sebanyak 333 kes tangkapan iaitu 57.3 peratus melibatkan individu daripada sektor swasta dan 248 kes iaitu 42.7 peratus melibatkan sektor awam. Data ini jelas menunjukkan bahawa rasuah merupakan ‘penyakit kritikal’ yang perlu ditangani di kedua-dua sektor awam dan swasta demi kelestarian integriti secara holistik ke arah pengukuhan ekonomi negara.
Sehubungan itu, inisiatif Kerajaan yang menekankan pelaksanaan dua sistem pengurusan rasuah iaitu MS ISO 37001: 2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) dan Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) khususnya dalam kalangan syarikat komersial menerusi Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) adalah tepat pada masanya. Ini kerana pengimplementasiannya secara komited dan konsisten khususnya oleh komuniti perniagaan berupaya mengurangkan risiko rasuah dalam syarikat, sekali gus dapat mewujudkan budaya integriti serta amalan korporat terbaik dalam persekitaran kerja.
Keseriusan Kerajaan dalam mempromosikan integriti dan tatakelola yang baik terpamer menerusi “Strategi 2: Kebertanggungjawaban Awam” di bawah NACS.
Dalam strategi tersebut telah dinyatakan cadangan agar pensijilan ABMS menjadi suatu keperluan yang perlu dipenuhi oleh syarikat untuk membida kontrak Kerajaan pada nilai perolehan RM10 juta dan ke atas. Pada masa yang sama, di bawah “Strategi 5: Insentif”, Kerajaan turut menggalakkan insentif pengecualian cukai dalam kalangan syarikat yang telah memperoleh pensijilan ABMS.
Melihat peri penting pelaksanaan sistem pengurusan rasuah khususnya dalam menjamin kesiapsiagaan syarikat untuk berhadapan dengan peruntukan liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018), saya melihat terdapat juga kepentingan untuk menjadikan penyertaan dalam Program CISM sebagai salah satu kriteria kelayakan untuk syarikat membida kontrak Kerajaan pada nilai perolehan di bawah nilai RM10 juta.
Sehubungan itu, inisiatif pengecualian cukai ini di bawah “Strategi 5: Insentif” juga wajar dipanjangkan kepada syarikat-syarikat yang telah melengkapkan Program CISM.
Inisiatif seperti ini secara tidak langsung dapat menggalakkan lebih banyak syarikat-syarikat seperti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya mengambil berat mengenai keperluan tatacara mencukupi.
Menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), PMKS merupakan salah satu entiti perniagaan yang disasarkan bakal menyumbang 41 peratus kepada keseluruhan KDNK pada tahun 2024, dengan prestasi PMKS pada tahun 2023 telah mencatatkan sumbangan sebanyak RM613 bilion iaitu bersamaan dengan 39.1 peratus daripada KDNK negara.
Sehubungan itu, saya yakin dengan memanjangkan insentif kepada syarikat-syarikat yang telah melengkapkan Program CISM khususnya dalam kalangan PMKS dapat membantu Kerajaan merealisasikan “Strategi 3: Suara Rakyat” NACS agar program Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) dapat dimanfaatkan untuk menggalakkan tatakelola yang baik, integriti dan antirasuah dalam sektor swasta.
Selaras dengan nama konvensyen hari ini, istilah ‘integriti korporat’ adalah tentang mempertingkatkan daya maju, daya saing serta kelangsungan sesebuah syarikat iaitu dengan cara menyelaraskan matlamat komersial menerusi pelaksanaan pengoperasian yang jujur, telus dan berintegriti tinggi. Hal ini boleh dicapai menerusi sistem pengurusan rasuah; yang mana sistem ini menterjemahkan nilai murni integriti serta amalan terbaik korporat dalam setiap aspek pelaksanaan operasi perniagaan syarikat.
Oleh itu, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk menyeru syarikat-syarikat komersial agar melaksanakan ABMS atau CISM mengikut keupayaan, saiz dan kapasiti sedia ada berserta dengan ruang waktu yang mencukupi.
Biarpun, terdapat pelbagai kekangan dan cabaran, pelaksanaan ABMS atau CISM yang dibuat secara telus, terancang serta konsisten akan mewujudkan satu budaya kerja yang kondusif, produktif dan kos efektif, sekali gus membantu syarikat menjana lebih banyak pendapatan.
Hal ini kerana suasana persaingan yang sihat dalam komuniti perniagaan akan menarik lebih banyak pelabur dengan peluang-peluang perniagaan yang berganda. Ini secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi serta pengukuhan taraf hidup rakyat.
Kerana itu saya yakin dan percaya, apabila syarikat mengamalkan integriti dan tatakelola yang baik, manfaatnya akan dinikmati bersama oleh seluruh rakyat terutama komuniti perniagaan.
–GERBANGPOST