Indeks COVID-19 Global dilancar malam ini

Indeks COVID-19 Global dilancar malam ini

KUALA LUMPUR,. Indeks pertama mengenai COVID-19 di dunia yang menyeluruh dan komprehensif, Indeks COVID-19 Global (GCI) dengan algoritma proprietari yang mampu memproses kira-kira 3,000 titik data sehari, dilancarkan malam ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin berkata indeks itu boleh menarik bersama metrik daripada pangkalan data sumber terbuka yang disahkan dan terkenal mengenai tadbir urus dan penjagaan kesihatan awam sementara ia mampu menilai secara komprehensif ketenatan sebenar dan kemajuan pemulihan negara-negara.

“GCI itu terdiri daripada Indeks Ketenatan dan Indeks Pemulihan, dengan yang pertama mengukur setenat mana keadaan di sesebuah negara dengan kemampuan sistem penjagaan kesihatannya untuk mengekang penularan wabak sementara yang kedua mengukur sebaik mana sesebuah negara menangani krisisi ini daripada perspektif kesihatan dan keselamatan.

Ia juga menilai dan menentukan ranking 184 negara berdasarkan sebaik mana mereka menghadapi pandemik COVID-19, dengan GCI bersedia menjadi sumber data tunggal yang mampu memudah cara untuk kerajaan di seluruh dunia membuat keputusan yang bermaklumat bagi memerangi COVID-19,” kata beliau dalam ucaptamanya di majlis pelancaran GCI secara penstriman langsung.

Khairy juga menyebut bahawa GCI boleh menjadi alat hebat untuk membantu kerajaan membuat keputusan kritikal dalam menangani pandemik itu, dan ia turut boleh menjadi satu penunjuk kepada sektor swasta untuk menyambung semula operasi biasa atau sama ada mereka sepatutnya menyediakan pelan mitigasi.

“Indeks berasaskan fakta dan dikemas kini setiap hari mampu membantu negara-negara di seluruh dunia merancang strategi terbaik mereka dalam menangani COVID-19 dan mempelajari amalan terbaik dari negara yang telah pulih daripada wabak itu.

GCI ini merupakan platform terbuka untuk memudah cara pembelajaran pantas antara negara dan organisasi berdasarkan Data Raya dan Sains Terbuka,” katanya.

GCI adalah kerjasama antarabangsa antara MOSTI; PEMANDU Associates; Fakulti Kesihatan Awam T H Chan, Harvard University; Akademi Sains Malaysia; Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Sunway University.

Selepas majlis pelancaran, berlangsung sesi webinar yang mengetengahkan pakar dalam sistem kesihatan, sektor awam dan pembentangan epidemik daripada Fakulti Kesihatan Awam T H Chan, Harvard University dan WHO bagi membincangkan Data Raya dan teknologi yang boleh digunakan secara strategik untuk memerangi COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)