
Konvensyen Nasional Sistem Integriti Korporat (KNSIK) 2024 Integriti Merealisasi Aspirasi Negara”
KUALA LUMPUR,. Bertempat diPusat Dagangan Dunia (PWTC) sempena dengan Konvensyen Nasional Sistem Integriti Korporat (KNSIK) 2024 pada pagi ini.
Konvensyen ini dianjurkan Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama tujuh (7) rakan Meja Bulat Integriti Korporat (RTD) Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM) dan Malaysian Alliance of Corporate Directors (MACD). Ia merupakan satu platform yang strategik dan signifikan ke arah pengukuhan agenda integriti nasional khususnya dalam sektor korporat.
Tema “Kelestarian Integriti Merealisasi Aspirasi Negara” yang diangkat dalam konvensyen ini juga amat bertepatan dengan matlamat negara untuk memastikan prinsip integriti menjadi tunjang kepada setiap usaha pembudayaan tatakelola dan amalan terbaik bagi menjamin kemaslahatan ekonomi Malaysia.
Ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri menerusi Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024 – 2028 yang telah dilancarkan oleh beliau pada Mei 2024 yang lalu iaitu untuk menyaksikan Malaysia berada dalam kalangan 25 negara teratas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada tahun 2034.

Dato’ Sri Dr. Akhbar Satar, Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia
PELAKSANAAN SISTEM PENGURUSAN ANTIRASUAH
Menerusi NACS 2024, Kerajaan telah mengangkat keperluan pelaksanaan dua sistem pengurusan antirasuah dalam komuniti perniagaan negara agar isu-isu seperti ketirisan, pembaziran dan sebagainya dapat dihindari serta ditangani secara telus dan sistematik.
Ini sekali gus dapat membantu negara ke arah mengoptimumkan potensi ekonomi dalam persaingan di peringkat global.
Dua sistem tersebut ialah MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) dan Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM), yang mana kedua-duanya memenuhi Prinsip T.R.U.S.T. yang terkandung dalam Garis Panduan Tatacara Mencukupi sebagai mekanisme pembelaan kepada peruntukan liabiliti korporat di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018). Menerusi Substrategi 10 di bawah Strategi 3: Suara Rakyat dalam NACS iaitu “Memanfaatkan program CISM untuk menggalakkan tatakelola yang baik, integriti dan antirasuah dalam sektor swasta”, IIM telah dipertanggungjawabkan sebagai agensi peneraju.
Tidak dapat disangkal bahawa Seksyen 17A Akta SPRM 2009 memfokuskan kepada syarikat-syarikat komersial yang beroperasi dalam negara.
Namun, ini tidak bermakna agensi-agensi kerajaan boleh menutup mata atau tidak mengambil kisah mengenai akta ini.
Ini kerana realitinya, agensi-agensi kerajaan sentiasa berurusan dengan syarikat-syarikat komersial seperti perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk tujuan tender dan perolehan. Malahan, banyak juga syarikat ditubuhkan mempunyai kaitan dengan kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri.
Justeru, sudah tentu kita tidak mahu melihat syarikat-syarikat milik Kerajaan dan syarikat-syarikat yang berurusan dengan Kerajaan terpalit dengan isu-isu integriti, tatakelola dan rasuah.
KOMITMEN BERSAMA KERAJAAN DAN KOMUNITI PERNIAGAAN
Menurut SPRM, perolehan merupakan salah satu bidang yang paling terdedah kepada rasuah selain pentadbiran dan penguatkuasaan. Dari tahun 2019 hingga 2023, SPRM melaporkan bahawa 24 peratus maklumat berkaitan rasuah yang diterima oleh SPRM ada kaitan dengan perolehan. Sehubungan itu, adalah wajar untuk agensi kerajaan dan sektor korporat berganding bahu mempromosi pelaksanaan sistem pengurusan antirasuah ABMS atau CISM agar manfaat daripadanya dapat dinikmati bersama-sama.
Dalam konteks ini, syarikat komersial boleh memilih sama ada untuk melaksanakan ABMS atau CISM di syarikat masing-masing berdasarkan saiz dan kapasiti sedia ada. Sekiranya syarikat mempunyai peruntukan kewangan, ABMS boleh menjadi pilihan utama. Bagi syarikat yang bersaiz kecil seperti PMKS yang mempunyai pelbagai kekangan khususnya kewangan, CISM adalah pilihan terbaik memandangkan ia bersifat percuma dan kendiri.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) misalnya, merupakan agensi awam terawal yang mengambil inisiatif untuk menggalakkan pelaksanaan CISM dalam kalangan syarikat-syarikat vendornya menerusi kerjasama Projek Rintis CISM dengan IIM yang bermula sejak Disember 2023 yang lalu.
Sehingga kini, terdapat lebih daripada 20 syarikat vendor MINDEF menyertai CISM dan dua daripadanya telah selesai melengkapkan Program CISM pada tahun 2024.
Selain MINDEF, usaha memperkasakan integriti dan tatakelola syarikat turut akan dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Beberapa siri perbincangan telah diadakan dengan IIM bagi merangka pelan dan strategi agar CISM dapat dilaksanakan oleh syarikat-syarikat yang disasarkan dalam projek berkenaan yang dijangka bermula pada tahun 2025.
Saya amat berbangga dengan pencapaian ini dan berharap agar agensi-agensi dan badan-badan awam yang lain akan turut mengambil inisiatif yang sama. Saya percaya, selain membantu syarikat-syarikat, inisiatif ini juga dapat membantu memulih serta meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur luar terhadap kesungguhan Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang unggul dari aspek kompetensi dan daya saing yang berintegriti.
INISIATIF IIM
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif IIM, saya juga amat bangga dengan komitmen dan pencapaian yang dipamerkan oleh IIM. Menjangkau usia 20 tahun, saya melihat IIM terus progresif dalam memainkan peranannya untuk membantu mengukuhkan kapasiti dan kompetensi integriti serta tatakelola sektor awam dan swasta dalam negara.
IIM bukan sekadar menjadi tulang belakang kepada CISM, malahan IIM turut menyediakan khidmat konsultasi kepada pembangunan ABMS dan Pelan Pembangunan Antirasuah (OACP) bagi menambah baik serta mengukuhkan tatakelola dan sistem pengurusan antirasuah dalam organisasi di sektor awam serta swasta.
IIM juga menawarkan produk penilaian integriti melalui Instrumen Penilaian Integriti (IAT) dan Penilaian Profil Individu (IIP). Menerusi IAT, syarikat dapat menilai tahap integriti dan tatakelola yang diadaptasi serta diaplikasikan di peringkat pengurusan syarikat.
Sementara itu, dapatan daripada IIP yang berasaskan psikometrik pula membantu syarikat melihat sejauh mana pematuhan dan pengamalan integriti dipraktikkan serta difahami oleh setiap warga kerja.
Kombinasi kedua-dua hasil analisis IAT dan IIP sudah tentu berupaya membantu syarikat menambah baik serta memantapkan kredibiliti dan prestasi syarikat untuk berhadapan dengan persaingan serta landskap ekonomi global yang kian mencabar dan ketidaktentuan.
–GERBANGPOST