Kos mengerjakan ibadah haji dijangka meningkat tahun hadapan

Kos mengerjakan ibadah haji dijangka meningkat tahun hadapan

KUALA LUMPUR,. Kos mengerjakan ibadah haji dijangka meningkat berikutan perkembangan terkini berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dan protokol kesihatan ketat yang dikuatkuasakan Kerajaan Arab Saudi, bagi membendung penularan COVID-19 dalam kalangan jemaah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, pihak Lembaga Tabung Haji (TH) akan memaklumkan kos haji untuk musim 1443H/2022 apabila telah dimuktamadkan.

“Ia termasuk suntikan vaksin, keperluan ujian PCR (ujian tindak balas berantai polimerase) untuk masuk ke Arab Saudi serta penjarakan fizikal dan lain-lain langkah keselamatan semasa di Tanah Suci,” katanya dalam jawapan yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.

Menurutnya, TH sedang menyemak dengan terperinci kos-kos yang terkesan akibat kadar inflasi serta peraturan dan cukai baharu di Arab Saudi termasuk caj visa haji yang diperkenalkan kerajaan itu pada musim haji 1441H/2020, selain kenaikan kadar cukai tambah nilai (VAT) di Arab Saudi daripada lima peratus kepada 15 peratus bermula Julai tahun lepas.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) mengenai kos baharu untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah yang dijangka meningkat susulan perubahan prosedur SOP yang ketat dikuatkuasakan kerajaan Arab Saudi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )