
KPDN Lancar Ops Terjah Seluruh Negara
Kuala Lumpur, 16 Disember 2022 – Hari ini saya dengan rasminya melancarkan OPS TERJAH di premis-premis jualan barangan keperluan di sekitar Chow Kit. Premis yang saya periksa dan pantau termasuk Pasar Awam, Pasar Mini, Kedai Runcit, Gerai Penjaja Kecil dan Kedai Makan.
2. Objektif utama dalam OPS TERJAH ini adalah untuk
i. melihat sendiri masalah bekalan dan harga barangan asas;
ii. mengenalpasti zon atau kawasan mana yang terjejas dengan bekalan dan harga serta tahap keseriusannya; dan
iii. mengenalpasti punca utama kenapa berlakunya isu rantaian bekalan dan harga barangan keperluan asas.
3. Melalui dapatan daripada OPS TERJAH ini, kerajaan akan pastikan rangka kerja untuk tindakan segera dihasilkan. Pihak Kementerian juga sedang menyediakan pelan strategik jangka masa pendek dan sederhana berdasarkan maklumat yang kami terima. Ini amat penting untuk memastikan kestabilan bekalan barangan asas memandangkan musim perayaan bakal tiba tidak lama lagi.
4 OPS TERJAH ini merupakan kali ketiga yang saya lakukan sejak menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Selaras dengan objektif utama OPS TERJAH, 2,200 orang Pegawai Penguat Kuasa KPDN akan digerakkan untuk melakukan OPS TERJAH di seluruh negara dalam masa sebulan ini dan melaporkan situasi sebenar kedudukan bekalan dan harga barangan keperluan asas kepada Kementerian.
5. Data-data itu akan dianalisa untuk memastikan realiti yang sebenarnya; samada kekurangan bekalan berlaku secara menyeluruh ataupun mengikut lokasi/ negeri serta mengetahui kecekapan penyaluran atau pengedaran bekalan dari pengeluar ke pembekal/ pemborong sebelum sampai ke peruncit dan pengguna.
6. Pemeriksaan di bawah OPS TERJAH ini antara lain memfokuskan pemantauan ke atas beberapa perkara antaranya berkaitan bekalan barang, harga barang, jualan murah, alat timbangan dan pematuhan SOP Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
7. Pendekatan penguatkuasaan OPS TERJAH adalah seperti berikut:
i. Membuat pemeriksaan dan pemantauan secara terperinci dan bersasar ke atas bekalan barang-barang yang menjadi tumpuan rakyat sebelum musim perayaan seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, barang basah dan barang untuk membuat kuih-muih;
ii. Membuat pemeriksaan dan pemantauan secara terperinci dan bersasar ke atas harga barang-barang yang menjadi tumpuan rakyat sebelum musim perayaan supaya barangan yang dijual mempunyai tanda harga, barang kawalan yang menepati harga yang ditetapkan oleh Kerajaan dan memastikan tiada aktiviti pengambilan keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut;
iii. Memastikan peniaga menggunakan alat timbang yang telah ditentusahkan semasa berusniaga; dan
iv. Membuat pemeriksaan dan pemantauan secara lebih efektif dan berkala ke atas premis-premis di bawah sektor peruncitan dan pengedaran untuk memastikan pematuhan ke atas SOP di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
8. KPDN juga akan mempertingkatkan keberadaan (omnipresence) anggota-anggota Penguat Kuasa di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan pengguna termasuklah melalui penggunaan Van STAR (Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna) dan Kereta Peronda bagi mewujudkan persekitaran perniagaan dan beli-belah yang selamat dan beretika.
9. Selain itu, Kementerian juga akan mengoptimumkan pengoperasian Bilik Gerakan (Enforcement Command Centre – ECC) KPDN bagi memastikan kepentingan dan aduan pengguna dapat ditangani segera.
10. KPDN ingin meminta kerjasama kepada semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan terutamanya bagi mengelakkan dikenakan tindakan tegas oleh pihak Penguat Kuasa Kementerian.
11. Pengguna yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung perkara di atas boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:
i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
ii. Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. Emel [email protected]
v. Ez ADU KPDN
YB Datuk Seri Salahuddin Bin Ayub
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup
16 DISEMBER 2022