KUALA LUMPUR,. KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) menyasarkan untuk memberi manfaat kepada kira-kira 4,500 orang pelajar di 15 buah sekolah meneng
KUALA LUMPUR,. KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) menyasarkan untuk memberi manfaat kepada kira-kira 4,500 orang pelajar di 15 buah sekolah menengah di lima buah negeri melalui program “KPJ Sound of Hope” mereka, yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan pendengaran dan menggalakkan pengesanan awal masalah pendengaran.
Pegawai Bertanggungjawab KPJ Healthcare Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid berkata penjagaan kesihatan orang ramai, tidak seharusnya bermula hanya apabila mereka menjadi pesakit.
“Apabila kita bercakap tentang penjagaan kesihatan, kita sering berfikir untuk merawat penyakit. Tetapi kadang-kadang, membuat perubahan bermula dengan sesuatu yang lebih mudah, seperti membantu kanak-kanak memahami kenapa melindungi pendengaran mereka itu penting,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata pendengaran berkait rapat dengan cara pelajar belajar, berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain, sambil menambah bahawa masalah pendengaran yang tidak dikesan boleh menjejaskan pengalaman seharian ini.
“Melalui Sound of Hope, kami mahu mendekati golongan muda lebih awal, membantu mereka memupuk tabiat yang baik dan menggalakkan mereka untuk bersuara jika merasakan sesuatu yang tidak kena,” katanya.
Hanafiah berkata tanggungjawab KPJ Healthcare lebih daripada sekadar di hospitalnya, dengan Sistem Kesihatan, KPJ berusaha untuk membawa kepakaran perubatan lebih dekat kepada komuniti, terutamanya apabila kesedaran dan intervensi awal boleh membawa perubahan yang bermakna.
“Inilah erti Care for Life bagi kami, iaitu menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses dan membantu orang ramai menjalani kehidupan yang lebih sihat,” katanya.
Program KPJ Sound of Hope sedang dilaksanakan secara berfasa dari September 2026 hingga April 2027, melibatkan 15 buah sekolah menengah terpilih di Selangor, Johor, Sabah, Pahang dan Pulau Pinang.
Melalui program ini, pakar audiologi KPJ Healthcare mengendalikan sesi pendidikan interaktif bertemakan “Lindungi Pendengaran Anda Sekarang” untuk mendidik pelajar mengenai amalan pendengaran yang selamat, risiko pendedahan kepada bunyi bising, dan tanda-tanda awal masalah pendengaran.
Pelajar yang terpilih juga akan menjalani pemeriksaan telinga asas menggunakan otoskop melalui Klinik Bergerak Klinik Waqaf An-Nur (KWAN).
Pemilihan berdasarkan kepada soal selidik awal dan persetujuan ibu bapa atau penjaga, manakala nasihat untuk pemeriksaan lanjut akan diberikan, jika perlu.
Program ini diterajui pasukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) KPJ Healthcare bersama KWAN, dengan kerjasama JLG REIT Managers Sdn Bhd dan disokong oleh rangkaian hospital KPJ.
KPJ Healthcare juga sedang memperluas akses penjagaan kesihatan yang inklusif untuk komuniti pekak dan kurang pendengaran, melalui kerjasama dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dan Hear Me Malaysia.
Tiga buah hospital dalam rangkaian KPJ, iaitu Hospital Pakar Tawakkal, Hospital Pakar Ampang Puteri, dan Hospital Pakar KPJ Klang, telah mencapai keupayaan mesra orang pekak Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) Tahap 1, untuk memperkukuh komunikasi antara kakitangan penjagaan kesihatan dan pesakit pekak.
Turut hadir pada acara tersebut ialah Penolong Kanan (Pentadbiran) SMK Subang Utama, Sophia Law Chiau Hui dan Ketua Pegawai Eksekutif JLG REIT Managers Sdn Bhd, Zulhilmy Kamaruddin.
— BERNAMA

