KPWKM akan teliti penutupan taska, tadika untuk elak penularan HFMD
KOTA BHARU,. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti keperluan penutupan taska dan tadika untuk mencegah penularan jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang semakin membimbangkan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata pihaknya sedang meneliti dan memandang serius perkara berkenaan memandangkan ia membabitkan isu keselamatan serta kesihatan kanak-kanak.
Katanya, kementeriannya juga akan merujuk perkara berkenaan kepada agensi yang bertanggungjawab iaitu Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan pelaporan statistik kes HFMD.
“Daripada pelaporan statistik yang diperolehi itu nanti kita akan adakan perbincangan di peringkat kementerian kami untuk mengambil langkah seterusnya. Sekiranya situasi itu berbahaya ia memerlukan tindakan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya dan penyampaian zakat kepada seramai 20 orang pengayuh beca di Dewan WAWA di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan Said Sidup.
Semalam, media melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengarahkan premis berkaitan kanak-kanak seperti taska, tadika dan pusat jagaan yang merekodkan lebih daripada empat kes jangkitan HFMD ditutup selama 10 hari selaras dengan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata kementeriannya juga berharap semua pihak terbabit memantau sekiranya terdapat kes HFMD di mana-mana institusi.
Katanya, pihaknya juga sering mengingatkan pengendali taska dan tadika untuk sentiasa menjaga kebersihan premis mereka bagi menjamin kesihatan kanak-kanak.
Sementara itu, Said berkata setakat ini tiada taska dan tadika di Kelantan dilaporkan ditutup susulan penyakit berkenaan.
— BERNAMA